Kajian: Gadis bawah umur berkahwin setiap tujuh saat

Kajian yang dilakukan pertubuhan kebajikan ‘Save the Children’ mendedahkan gadis di bawah umur 15 tahun berkahwin setiap tujuh saat.

 

Gadis seawal usia 10 tahun dipaksa berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih berusia dan ia melibatkan beberapa negara termasuklah Afghanistan, Yaman dan Somalia.

 

Konflik, kemiskinan dan krisis kemanusiaan dilihat sebagai faktor utama yang menyebabkan gadis bawah umur terdedah kepada perkahwinan seumpama ini.

 

“Perkahwinan kanak-kanak menafikan hak asas kanak-kanak iaitu hak belajar, membesar dan menjadi kanak-kanak.

 

“Gadis yang berkahwin terlalu awal sering tidak dapat hadir ke sekolah dan lebih cenderung berdepan dengan keganasan rumah tangga, penderaan dan rogol, terpaksa hamil dan terdedah kepada jangkitan seksual termasuk HIV,” kata Pegawai Eksekutif Save the Children International, Helle Thorning-Schmidt.

 

Laporan yang dinamakan ‘Every Last Girl’ mengkategorikan negara-negara berdasarkan tempat yang paling sukar menjadi seorang gadis berdasarkan persekolahan, perkahwinan kanak-kanak, remaja hamil, kematian ibu dan bilangan wanita di Parlimen.

 

Chad, Noger, Republik Afrika Tengah, Mali dan Somalia telah disenaraikan di bahagian bawah indeks.

 

Menurut laporan itu, kanak-kanak perempuan yang berdepan dengan konflik lebih cenderung menjadi pengantin kanak-kanak.

 

Ramai keluarga pelarian mengahwinkan anak perempuan mereka sebagai satu cara untuk melindungi mereka daripada kemiskinan atau eksploitasi seks.

 

Seorang pelarian Syria yang baru berusia 13 tahun dari Lebenon, Sahar (bukan nama sebenar) berkahwin dengan seorang lelaki berusia 20 tahun dan kini usianya 14 tahun dan sedang hamil dua bulan.

 

“Pada hari perkahwinan, saya menbayangkan ia menjadi suatu yang indah, tetapi tidak. Penuh dengan kesengsaraan,” kata Sahar dipetik laporan sebagai berkata.

 

 

“Saya rasa bersyukur saya akan mempunyai anak. Namun saya seorang kanak-kanak yang membesarkan kanak-kanak,” katanya.

 

Agensi kanak-kanak PBB menganggarkan bilangan wanita berkahwin ketika usia di bawah umur akan meningkat iaitu 700 juta pada hari ini kepada 950 juta pada tahun 2030.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.