Awie Dakwa Berketurunan Raja Sebab Utama Pilih Kahwin Di Siam

KUALA LUMPUR — Memiliki darah keturunan raja Siam, Awie mendedahkan ia antara sebab perkahwinan ketiganya kali ini diadakan di Songkla, Thailand.

 

Awie, nama popular Ahmad Azhar Othman berkata pertalian darah itu diketahui selepas menjalankan kajian selama empat tahun yang mendapati dirinya berasal daripada keturunan Raja Sulaiman, pengasas wilayah itu.

 

“Selepas empat tahun mengkaji mengenai keturunan sen­diri, saya dapati saya sebenar­nya adalah keturunan Raja Su­laiman yang berasal dari lo­kasi tersebut.

 

Sebab itu, saya mahu memastikan kali ini sa­ya berkahwin di lokasi tanah tumpah nenek moyang sendiri,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

 

Awie, 48, selamat diijabkabulkan dengan Sharifah Ladyana Jumaat lalu di Masjid Sultan Sulaiman, Songkla.

 

Majlis pernikahan itu hanya dihadiri keluarga dan rakan-rakan terdekat pasangan pengantin baru itu.

 

Sebelum ini, pelakon filem Sembilu dilaporkan merahsiakan lokasi perkahwinannya bagi mengelak dirinya dan isteri terkena sihir.

 

Bagaimanapun, penyanyi Tragedi Oktober berkata selepas lokasi perkahwinannya diketahui umum, isterinya menerima tempias perbuatan syirik itu.

 

“Akhirnya selepas saya menikah, bini saya muntah-muntah, berak-berak dan tidak serupa orang.

 

“Terpaksa bawa berubat dengan ustaz mengaji pondok di sana dan untuk memulihkan balik,” katanya seperti dilaporkan portal Mstar.

 

Awie percaya insiden yang menimpanya dan isteri satu ujian dan beliau redha dengan segala ketentuan Tuhan.

 

“Saya dapat agak [perbuatan] siapa, cuma saya tak boleh dedahkan nama. Saya boleh agak siapa.

 

“Saya rasa agak tepatlah sangkaan saya. Dah beberapa kali dah kita lihat benda-benda macam ini. Nama-nama yang terkeluar nama itu saja.

 

“Tak apalah ini semua kuasa Allah. Saya terima dan saya redha. Baik buruknya datang daripada Allah,” beliau dilaporkan berkata. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.