Amanah Bidas Kerajaan Kelantan, Dakwa Masih Ada Mangsa Banjir Tiada Rumah

PETALING JAYA – Projek pembinaan rumah mangsa banjir di Kelantan mendukacitakan, kata Amanah, yang mendakwa keengganan kerajaan pusat dan negeri meluluskan pembinaan rumah bagi mangsa banjir besar akhir tahun 2014 itu menyebabkan ramai antara mereka masih tinggal di khemah dan menumpang.

 

Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah turut menyelar Putrajaya dan kerajaan Kelantan pimpinan PAS kerana tidak bersunguh membantu penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

 

“Masih lagi ada mangsa yang menumpang, tinggal di rumah yang rosak akibat banjir dan ada yang tinggal di dalam khemah walupun tidak ramai, ia berpunca daripada masalah teknikal pentadbiran kerajaan (Kelantan).

 

“Kerajaan turut mengenakan pelbagai syarat, seperti rumah perlu dibina di atas tanah yang dimiliki mangsa banjir. Walaupun sudah 3-4 generasi tinggal di sana, mereka tidak mempunyai surat hak milik tanah, yang ada pun sudah hilang kerana banjir,” kata Wan Rahim kepada FMT.

 

Kerajaan juga menjadikan alasan tanah yang diduduki penduduk tidak sah kerana ia merupakan rizab sungai dan pembinaan laluan Kereta Api Tanah Melayu ( KTM) untuk menolak permohonan mangsa banjir.

 

“Saya merasakan bahawa pihak kerajaan baik pusat atau negeri mereka perlu memudahkan bentuk bantuan, saya rasa wang untuk bina rumah ada cuma kelemahan dari sudut pengurusan yang menjadi masalah sehingga projek untuk mangsa tidak dapat dibina,” katanya.

 

Mei lalu, Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata pihaknya akan menyiasat laporan mangsa banjir masih tinggal di dalam khemah.

 

Katanya, pada mesyuarat terakhir bersama Majlis Keselamatan Negara, dipersetujui tiada lagi mangsa banjir tinggal di dalam khemah memandangkan kerajaan negeri menyediakan kawasan penempatan khas kepada mereka.

 

Pada akhir 2014, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Sabah dilanda banjir besar menyebabkan berlaku kehilangan nyawa, kerosakan dan kehilangan rumah.

 

Ekoran kejadian itu, kerajaan menetapkan sebanyak 1,395 rumah yang musnah sepenuhnya akan diberikan bantuan Rumah Kekal Baharu, manakala 5,544 rumah yang rosak akibat banjir diberi bantuan kerja pembaikan.

 

Laporan Ketua Audit Negara 2015 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Mei lalu mendapati prestasi projek pembinaan rumah mangsa banjir kurang memuaskan dengan 40% atau 557 daripada 1,395 unit rumah masih belum siap dibina sehingga 30 Mac lepas. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.