Video: Penahanan Matthias, Khairuddin Salah Guna SOSMA – Tun M

Putrajaya – Penahanan peguam, Matthias Chang dan anak guamnya, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dianggap penyalahgunaan kuasa oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 

Mantan Perdana Menteri itu berkata, penggunaan SOSMA untuk menahan kedua-dua individu terbabit bertentangan dengan semangat dan tujuan akta itu diluluskan Parlimen.

 

 

“Mereka (Khairuddin dan Matthias) bukan IS (Islamic State atau merujuk kepada pengganas). Mereka buat laporan sahaja takkan itu pun salah,” katanya pada sidang media di pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

 

Turut hadir dan sependapat dengan Mahathir ialah bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat dan veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid.

 

Turut menyatakan sokongan ialah seorang lagi bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik namun beliau tidak hadir dalam perjumpaan hari ini kerana berada di Taiwan.

 

Menurut Mahathir, amat malang bagi rakyat Malaysia apabila tindakan tersebut diambil kerana ia membawa mesej kepada rakyat yang apabila seseorang melaporkan berlaku kesalahan, orang itu akan ditahan.

 

Tuduhan dua orang kuatnya sabotaj kerajaan dan institusi perbankan di mahkamah hari ini juga dianggap keterlaluan.

 

Justeru, gabungan bekas pimpinan dan yang masih jadi pemimpin UMNO hari ini mahu kedua-dua individu terbabit dibebaskan serta merta dan pihak berkuasa perlu memberi jaminan bahawa tidak ada sesiapa lagi akan ditahan dengan cara yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.