Video: Muhyiddin Seru Rakyat ‘Lawan’ Najib

Putrajaya – Rakyat tidak perlu takut untuk menyuarakan pandangan dan tidak puas hati terhadap kepincangan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Kenyataan itu dibuat bekas Timbalan Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang mahukan rakyat tidak terus berdiam diri melihat kepincangan dalam negara.

 

 

“Saya percaya ini adalah caranya untuk kita terus maju kehadapan sebagai rakyat, mengambil berat terhadap apa yang berlaku dan tidak seharusnya berdiam diri kerana kita bukannya minoriti tetapi kita adalah majoriti,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Isnin.

 

Muhyiddin berkata, masa ini paling sesuai untuk rakyat bangkit dan bertindak segera jika tidak mahu negara terus hancur.

 

“Ramai pihak yang telah menyuarakan pandangan mereka, jadi sememangnya kita mempunyai isu yang serius. Kita tidak mahu negara kita terus hancur.

 

“Kita tidak boleh ketepikan pandangan itu, hanya disebabkan anda (Najib) di dalam kerajaan. Memang ada suara dari akar umbi yang mahukan perubahan,” tegasnya.

 

Turut hadir dalam sidang media berkenaan adalah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, dan juga bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat.

 

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden UMNO itu turut menggesa agar ahli UMNO lebih berani dalam menyuarakan pandangan mereka terutamanya sewaktu Persidangan Agong UMNO akan datang.

 

“Jangan takut terhadap apa yang bakal berlaku, kerana di dalam Islam kita dituntut untuk bercakap benar.

 

“UMNO juga tidak seharusnya membuang semua perkara dan dilihat sebagai tidak prihatin terhadap isu yang berlaku,” katanya.

 

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, beberapa pemimpin UMNO telah menyuarakan kepadanya tidak puas hati dengan situasi politik semasa di bawah Najib tetapi bimbang dipecat oleh parti jika bersuara.

 

Ditanya adakah beliu tidak bimbang dipecat UMNO, Muhyiddin berkata itu adalah risiko yang perlu ditempuhi sebagai seorang pemimpin.

 

“Saya percaya kepada prinsip keadilan biarpun saya masih memegang jawaran dalam parti tetapi tidak bermakna saya tidak boleh menyuarakan pendapat terhadap apa yang berlaku dalam parti kerana ia melibatkan rakyat.

 

“Saya tidak bimbang (dipecat parti) kerana ini usaha memperjuangkan hak rakyat. Adakah perbuatan saya ini salah? Dalam parti pun ada menyebut kita tidak perlu menyokong pemimpin secara membuta tuli,” katanya.

One thought on “Video: Muhyiddin Seru Rakyat ‘Lawan’ Najib

  • October 14, 2015 at 3:15 am
    Permalink

    Bos kamu “bagus” tak boleh pinjam “ilmu”..tak kan jadi…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.