Tun Mahathir: Malaysia Negara Paria? – Zein Isma

Oleh: Dato’ Hj Zein Isma Hj Ismail

 

 

Assalamualaikum wbk.

 

” Dimata dunia, Malaysia sudah menjadi negara paria…” Beginilah sedutan entri terbaru TDM dalam blog beliau. Tuduhan ini dibuat kerana penahanan Dato Khairuddin dan bekas SetPol TDM iaitu Matthias Chang.

 

Paria dipinjam dari bahasa India, ia menunjukkan kasta paling rendah dalam tradisi India. Apabila TDM telah menuduh Malaysia sebagai negara paria, beliau telah mengatakan Malaysia telah mengamalkan norma norma aturan kehidupan yang amat hina dan amat berbeza dengan norma sejagat.

 

Tuduhan Negara Paria Ketika DSN menjadi PM Malaysia amat mengecewakan.

 

Saya mengajak kita semua imbas kembali bagaimana amalan undang undang ISA ketika TDM menjadi Perdana Menteri Malaysia yang merangkap Menteri Dalam Negeri antara tahun 1986 -1999.

 

Ketika Operasi Lalang digerakkan pada 27 Okt 1987, seramai 106 rakyat telah ditangkap dari pelbagai latar belakang. Melalui peristiwa itu, TDM telah menyalahkan pihak polis sepenuhnya kerana telah bertindak lebih awal tanpa memaklumkan kepada beliau sedangkan TDM menyatakan beliau telah berjumpa beberapa pemimpin pembangkang dan memberi komitmen bahawa mereka tidak ditangkap.

 

Disebalik dakwaan TDM bahawa beliau telah berjumpa beberapa pemimpin pembangkang, pemimpin tersebut telah menafikan perjumpaan itu berlaku dan meminta pengesahan terhadap perjumpaan tersebut. Sehingga kini TDM tidak mampu mengesahkan kebenaran dakwaan beliau.

 

Selain dari tangkapan melalui ISA, dengan kuasa yang ada pada TDM sebagai Menteri Dalam Negeri waktu itu,  beberapa lesen penerbitan akhbar seperti The Star, Sin Chow Jit Pow dan Watan telah dibatalkan.

 

 

Kebenaran Yang Tidak Mampu Ditolak. 

 

Dalam satu majlis di Seri Kembangan pada 28 Feb beberapa tahun lepas, TDM memberi kenyataan keperluan undang undang seperti ISA dilaksanakan. Biarpun negara seperti Amerika Syarikat lantang mengkritik tahap kebebasan di Malaysia sewaktu akta tersebut dikuatkuasa. Apa yang melucukan Amerika Syarikat juga telah menguatkuasakan akta Patriot sama seperti ISA  yang akan menahan individu tanpa bicara, tahanan akan ditempatkan di kem Tahanan Teluk Guantanamo, Cuba.

 

Setelah ISA dihapuskan dan diganti dengan SOSMA, TDM pula mengecam SOSMA dikuatkuasakan dan menuduh penguatkuasaan SOSMA oleh negara telah meletakkan status negara sebagai negara “PARIA”.

 

 

TDM Telah Melakukan Perkara Yang Pernah Dilarang Beliau Semasa Memerintah. 

 

Antara cubaan TDM melalui proksi beliau iaitu Dato Khairuddin dan Matthias Chang cuba memalukan negara dan PM DSN dengan cara membuat laporan diluar negara untuk melibatkan “Sherif Bangsa Asing” bagi melakukan siasatan dan mengharapkan PM DSN ditahan, akan tetapi tiada satu pun pihak berkuasa menangkap PM DSN ketika PM DSN diluar negara. Sudah tentu keadaan ini mengecewakan TDM yang amat berharap dapat menjatuhkan PM DSN sebagai PM Malaysia.

 

Perbuatan melibatkan “Sherif Bangsa Asing” yang dirancang oleh TDM, amat berlawanan dengan kecaman yang pernah beliau luahkan ketika TDM berkuasa. Kecaman yang dibuat di majlis perasmian Persidangan Agung UMNO terhadap usaha pembangkang yang melibatkan “Sherif Bangsa Asing” ketika era reformasi memuncak.

 

Nampak gayanya, TDM telah menunjukkan satu sikap “Matlamat Menghalalkan Cara”. Biarpun cara itu dibenci ketika TDM berkuasa, ianya boleh diamalkan setelah beliau tidak berkuasa asalkan memenuhi matlamat beliau untuk menjatuhkan PM DSN.

 

Tidak sepatutnya TDM menghina negara yang menguatkuasakan undang undang SOSMA kerana ketika TDM berkuasa, ISA turut dikuatkuasakan.

 

Kesimpulannya sesuatu undang undang digubal dan dikuatkuasa bukan untuk menghalang kemajuan dan kebebasan rakyat. Akan tetapi ia dibuat untuk mengawal rakyat agar tidak mementingkan diri dan memastikan negara aman dari kekacauan.

 

Jika kita sebagai rakyat tidak menghormati dan mematuhi undang undang, maka akan hancur la keamanan, runtuh la TAMADUN dan semakin HINA sesenuah negara kerana kelemahan menjaga keamanan.

 

*Dilaporkan TDM tidak sihat, saya sebagai Ketua Penerangan UMNO Selangor menyeru rakyat Malaysia dan ahli UMNO yang lain. Biarpun ada khilaf pendapat dan pandangan dengan TDM. Kita wajib mendoakan kesejahteraan beliau. Saya amat yakin seruan ini juga amat disukai oleh PM DSN biarpun TDM sentiasa berusaha menjatuhkan kedudukan PM DSN.

 

 

 

Nota:

 

* Kenyataan penulis itu dipetik dari kenyataan akhbar yang dihantar kepada SuaraTV dan ia adalah pendapat peribadinya dan tidak semestinya mewakili pandangan SuaraTV.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.