Rakyat Sarawak Diminta Kuasai Bahasa Lain – Adenan

Kuching – Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu rakyat Sarawak menguasai bahasa lain terutama Inggeris selain bahasa kebangsaan.

 

Beliau memberitahu, bahasa Inggeris mahupun Mandarin kini merupakan bahasa yang diguna pakai di seluruh dunia dan menjadi elemen penting dalam pasaran pekerjaan.

 

Malah, beliau berkata menguasai lebih daripada satu bahasa tidak menjadi masalah untuk rakyat negeri ini kerana rakyat Sarawak telah mengguna pakai lebih daripada satu bahasa.

 

“Letakkan keutamaan dalam penguasaan bahasa Inggeris dan Mandarin tetapi bukan bererti kita meminggirkan bahasa kebangsaan kerana bahasa ini amatlah penting terutama ketika mahu mencari pekerjaan pada masa kini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Yayasan Kebudayaan Dayak (YKD) Ke-23 di Hotel Riverside Majestic di sini malam kelmarin.

 

Adenan mendedahkan bahawa kebanyakan graduan institusi pengajian tinggi di negara ini sukar mendapat pekerjaan disebabkan kurangnya penguasaan terhadap bahasa tersebut.

 

“Saya melihat kebanyakan penganggur di negara ini adalah orang Melayu yang merupakan graduan universiti yang hanya dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

 

“Ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan kerana kebanyakan syarikat memerlukan tenaga kerja yang mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris atau Mandarin,” katanya.

 

Pada masa sama Adenan memberitahu ia tidak menjadi masalah untuk masyarakat Bumiputera Sarawak untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina bagi menguasai dua bahasa itu.

 

Beliau turut memberi contoh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang merupakan salah seorang pelajar daripada sekolah Cina dan anak-anak menteri itu juga disekolahkan di sekolah Cina di negeri ini.

 

Mengenai isu pengiktirafan United Examination Certificates (UEC), beliau berkata ia akan menjadi kehilangan yang besar untuk negara jika institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak mengiktiraf pemegang UEC.

 

“Bahasa Inggeris adalah penting justeru kita berharap penyerahan semula autonomi dalam bidang pendidikan akan membolehkan kita melaksanakan pembangunan pendidikan yang lebih baik yang memberi penekakan terhadap perkara seperti ini,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.