Pesawat APMM Mulakan Operasi Padam Kebakaran Di Sumatera Selatan

PUTRAJAYA – Sebuah pesawat jenis Bombardier CL 415 MP Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah memulakan operasi memadam kebakaran dengan menggunakan ‘water scooping’ dan ‘water bombing’ di kawasan Sumatera Selatan, Indonesia pada Ahad.

 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Che Hassan Jusoh berkata, pesawat itu telah melakukan, masing-masing 10 kali water scooping dan water bombing dalam tempoh empat jam penugasan pada hari pertama.

 

Dalam satu kenyataan di sini malam Ahad, beliau berkata, sesi menyedut air dengan kapasiti 6,137 liter dalam tempoh 12 saat telah dilakukan di Sungai Lumpur yang terletak di kawasan tenggara, 70 batu dari Palembang.

 

“Masa diambil bagi melakukan satu sesi menyedut air dan sampai ke kawasan kebakaran hanya mengambil masa tujuh minit. Operasi itu melibatkan seorang juruterbang (Lt Kdr Maritim Azizan Buang), seorang pembantu juruterbang dan seorang anak kapal,” katanya.

 

Che Hassan berkata, operasi pertama itu akan diteruskan pada Isnin dan dijangka mengambil masa selama lima hari.

 

Jumaat lepas, selain pesawat bombardier, APMM juga menghantar sebuah helikopter AS 365 N3 Dauphin bersama 29 pegawai APMM bagi operasi memadamkan kebakaran yang menyebabkan masalah jerebu berpanjangan sehingga melanda negara jiran sejak dua bulan lepas. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.