Tidak Perlu Risau Status SJKC, Tingkatkan Penguasaan Bahasa Kebangsaan – Perdana Menteri

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak berkata, masyarakat Tiong Hua tidak perlu risau mengenai status Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kerana hak belajar bahasa ibunda sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri meminta kaum itu supaya mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan mereka supaya lebih lancar.

“Jangan risau mengenai SJKC, ia sudah pun termaktub, bahawa hak belajar bahasa ibunda dalam undang-undang negara. Jangan bimbang, dalam Nasional Blue Print pun ada SJKC. Sebab itu saya bagi peruntukan baru kepada SJKC dalam bajet kali ini.

“Cuma kita harap SJKC ini belajarlah bahasa kebangsaan dengan baik, jangan kata ‘gua, ‘lu’ lagi. Kita mahu lancar bahasa kebangsaannya dan orang Melayu pun boleh belajar bahasa Mandarin,” katanya disambut sorakan ahli MCA ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-60 di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalannya, Datuk Wee Ka Siong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong; Ketua Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan serta pimpinan komponen BN.

Najib yang juga Pengerusi BN turut menegaskan bahawa masa depan MCA kini bergantung sepenuhnya kepada perpaduan ahli dan pemimpinnya.

Beliau berkata, pemimpin komponen BN itu harus bekerja dalam satu pasukan serta mengelakkan pertelingkahan dalaman supaya rakyat tidak bosan.

“MCA janganlah bergaduh sesama sendiri, cukup…penat..saya pun susah, nak dengar orang ini cakap ini, nak pilih calon (bertanding dalam pilihan raya) pun susah.

“Saya sebagai pengerusi BN pun tak berapa kenal calon secara perseorangan. Ada calon DUN pun saya tak kenal setiap daripada mereka, (jadi) kemukakanlah calon yang layak dan terbaik, tapi kalau ada team A, B susahlah…saya pun susah,” katanya.

Najib dalam ucapannya juga mengajak semua rakyat termasuk ahli MCA mengingati sejarah perjuangan pemimpin terdahulu seperti Tun Tan Cheng Lock serta memahami asal usul pembentukan negara dan Perlembagaan serta perjanjian kontrak sosial.

“Kita mesti faham semua ini, semangat dan prinsip dia masih relevan sehingalah hari ini. Kalau kita boleh faham, ia boleh bawa kebanggaan kepada Malaysia pada masa depan,” katanya.

Menyentuh mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), Najib berkata pelaksanaannya kelak lebih baik berbanding cukai lain, malah diyakini mampu melonjakkan kewangan dan pertumbuhan ekonomi negara pada tahap lebih baik.

Beliau berkata, cukai bayangan diumum Pakatan Rakyat dalam bajet mereka sebelum ini juga tidak mesra peniaga dan beri kesan kepada Bursa Saham.

“Cukai Keuntungan Modal (diperkenal pakatan) tidak mesra peniaga. Apa yang berlaku akhirnya nilai Bursa Saham akan jatuh, kesannya nanti adalah kepada ahli perniagaan. GST terbukti jauh lebih baik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.