SJKC Aset Tingkatkan Tahap Intergrasi Kaum – Pemuda MCA

Kuala Lumpur – Kewujudan sekolah vernakular harus dianggap sebagai aset untuk meningkatkan tahap integrasi kaum, kata Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon.

Beliau berkata ini kerana pendidikan Bahasa Cina kini bukan lagi hanya melibatkan masyarakat Cina, malah semakin ramai ibu bapa bukan Cina memilih untuk menghantar anak belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

“Murid-murid bukan Cina yang belajar di SJKC di seluruh negara telah mencapai 12 peratus daripada jumlah murid. Ini bermakna SJKC adalah lebih majmuk daripada Sekolah Kebangsaan,” katanya dalam ucapan dasar beliau di Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-50 di sini, hari ini.

Tambahnya, beberapa negara Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand yang sebelum ini menyekat perkembangan sekolah aliran bahasa Cina kini telah mengubah dasar mereka untuk menggalak perkembangan dan penggunaan bahasa itu.

Chong juga berkata Barisan Nasional (BN) adalah formula politik yang paling sesuai untuk negara majmuk seperti Malaysia.

Katanya, bagaimanapun formula asas BN perlu diatur semula, supaya semangat berkongsi kuasa itu dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Beliau berkata, Pemuda MCA juga menyokong penuh penggubalan perlembagaan parti untuk melaksana sistem pemilihan secara terus supaya mekanisme pemilihan parti lebih kukuh dan sistem pemilihan yang lebih telus dengan menghindari rasuah dan masalah “faction” serta politik wang.

Katanya, sistem pemilihan juga dapat memastikan mereka yang bertanding adalah berkelayakan dan mempunyai mandat daripada ahli.

Sementara itu, semasa merasmikan perhimpunan tersebut, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata Pemuda perlu memperhebatkan lagi usaha mereka untuk mendekati golongan belia di negara ini.

Katanya, mereka perlu menggunapakai segala saluran yang ada khasnya melalui teknologi maklumat untuk tujuan tersebut.

Beliau mencadangkan, selain belia, Pemuda juga perlu mendampingi pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk menerangkan kepada mereka dasar-dasar kerajaan serta menangkis ketidakbetulan fakta yang dimainkan oleh pembangkang.

Seramai 813 daripada 1,919 perwakilan Pemuda menghadiri perhimpunan kali ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.