Saya Sudah Mula Berangan Nak Pakai Itu Ini, Macam Saya Yang Nak Kawin – Marsha

Kuala Lumpur – Sehingga saat ini, Marsha bagaikan tidak percaya teman baiknya, Sharifah Sakinah akan melangsungkan pertunangan pada 25 Oktober ini dan melangsungkan pernikahan pada 28 Mac tahun depan.

Marsha yang dihubungi BH Online memberitahu, selama ini Sakinah sering cakap yang akan bertemu jodoh dulu ialah dirinya. Tapi yang tertulis kini ialah sebaliknya. Sakinah akan bertunang dengan juruterbang sebuah syarikat penerbangan bernama Aliff Adha Jamil.

“Saya sampai sekarang masih menyangka berita pertunangan dan perkahwinannya itu hanya mimpi. Mungkin dia hanya main-main. Tahulah perangai ‘gila-gila’ dia. Saya sendiri ibaratnya tak boleh ‘hadam’ semua itu dalam hati.

“Tapi sebagai kawan baiknya, saya tumpang gembira dengan apa yang bakal dilaluinya. Malah saya ini umpama orang kanannya yang membantu dia membuat persiapan tunang dan kahwin. Saya sudah mula berangan nak pakai itulah buat inilah. Macam saya pula yang nak kahwin,” kata Marsha yang mula digilap bakatnya menerusi Akademi Fantasia musim keempat.

Ketika ini, Marsha memberitahu beliau sudah mula sedikit demi sedikit membantu Sakinah melakukan persiapan majlis pertunangan dan perkahwinan. Ketika dihubungi, Sakinah menjelaskan dia sedang membuat cenderahati untuk hari pertunangan temannya itu.

“Nak tolong besar-besaran tidaklah. Saya tolong apa yang patut. Sebagai kawan, saya cuba memberi sokongan yang termampu. Malah saya sudah merancang untuk mengambil cuti untuk beberapa hari bagi membantunya.

“Jadi saya memang menolak beberapa tawaran berlakon dan membuat persembahan. Iyalah, biarpun beberapa minggu lagi majlis tunangnya dan lambat lagi dia nak kahwin, tapi sekarang masa sekejap saja berlalu. Pejam celik, pejam celik, tak lama itu,” katanya sambil memberitahu seperti biasa keluarga Sakinah turut teruja melunaskan persiapan majlis pertunangan.

Dalam perkembangan lain, Marsha sebenarnya sudah menceburi dunia perniagaan dengan menjual cekak rambut di bawah label nama Marshamilans (Instagram: @marshamilans). Perniagaan itu diusahakannya sejak hujung tahun lepas.

“Bagi saya cekak rambut ini satu aksesori yang ringkas dan boleh digayakan bila-bila masa. Macam saya, anak rambut memang banyak. Jadi pakai cekak rambut ini dapatlah sembunyikan anak rambut yang ada.

“Kalau ada hari tak ada mood nak buat rambut, maka penyelesaian mudah ialah mengenakan cekak rambut. Sebab apa saya pilih nak jual cekak rambut kerana saya pernah bermimpi buat cekak rambut. Itulah jawapan saya kalau orang tanya kenapa aksesori ini yang dipilih,” katanya.

Mengenai dunia seni, Marsha memberitahu penerimaan lagu tema filem Frozen, Let It Go yang dinyanyikannya dalam bahasa Melayu dengan judul Bebaskan masih berbekas hingga kini. Bahkan menerusi lagu itu, Marsha kerap menerima undangan membuat persembahan korporat.

“Sekarang pihak saya sedang menyusun strategi untuk mengeluarkan single lain pula. Sekarang tengah mempertimbangkan sama ada mahu menggunakan khidmat komposer tempatan atau antarabangsa.

“Selain itu, saya masih mempromosikan lagu duet bersama Zarul Husin berjudul Satu Rasa. Lagu ini turut dicalonkan dalam kategori Vokal Duo/Berkumpulan Terbaik untuk Anugerah Industri Muzik ke-21 yang dijangka berlangsung pada 6 Disember depan.

“Pada masa yang sama, pihak saya turut merancang untuk mengadakan pertunjukan solo pada tahun depan. Selama ini saya selalu bekerjasama dengan artis lain di atas pentas. Mungkin kalau jadi pertunjukan solo ini saya akan undang teman artis untuk sama-sama berhibur,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.