Kristal Maya Bakal Tersingkir Tanpa Shah?

Kuala Lumpur – Kumpulan Kristal Maya dari Liga Lawak Superstar Musim 2 dijangkakan bakal beraksi tanpa seorang daripada ahli kumpulannya iaitu pelawak Bintang Mencari Bintang, Shah Tapaw.

Walaupun peringkat suku akhir itu bakal menentukan kumpulan manakah yang akan disingkirkan, dua lagi ahli kumpulan itu iaitu Erry Putra dan Haziq terpaksa akur kerana Shah Tapaw disyaki demam denggi.

Erry Putra yang dihubungi turut menyatakan sedikit kekecewaannya jika sahabatnya tidak dapat beraksi di pentas Liga Lawak Superstar kerana mereka sudah serasi bersama.

“Walaupun saya rasa sedikit kecewa dengan kemungkinan besar Shah (Tapaw) tidak dapat bersama kami kali ini, tetapi saya faham perkara sebegini tidak dapat dielakkan, apatah lagi ia membabitkan kesihatan yang lebih patut diutamakan.

“Namun ketiadaan Shah bukanlah alasan untuk kami tidak beraksi dengan cemerlang. Saya dan Haziq akan cuba sedaya upaya memberikan persembahan yang terbaik. Kami juga mengharapkan supaya penonton terus menyokong kami di dalam Liga Lawak Superstar ” katanya.

Difahamkan Shah Tapaw masih mengharapkan kesihatan beliau kembali pulih dalam masa yang terdekat kerana masih belum dipastikan sama ada mengidap positif denggi atau tidak.

Ahad ini tetap menyaksikan empat kumpulan berkenaan bersaing untuk kekal dalam saingan ke separuh akhir sebelum berentap di pentas akhir yang dijadualkan berlangsung 9 November nanti.

Kumpulan yang berjaya di pusingan akhir nanti bakal mengejar habuan lumayan sejumlah RM350,000 yang bakal diterima pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga.

Kumpulan yang bakal bersaing malam itu adalah Kristal Maya (Erry Putra & Haziq), Kami Tuan Rumah (Achok Mmmmm, Zoey Rahman & Mirul), Jiwa Kiut (Chiwan Mmmmm, Aepul Drama Band, & Syafiq Rahim) dan Plan Bro (Isey Titan, Talha Harith & Azizi).

Adakah Shah Tapaw akan beraksi dan pulih untuk berakhi Ahad ini? Nantikan Liga Lawak Superstar Musim 2, Ahad, jam 9.00 malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.