Video: Azmin Mahu Jadi Presiden PKR, kata Rafizi

SHAH ALAM – Nampaknya perseteruan antara Rafizi Ramli dengan Datuk Seri Azmin Ali masih berpanjangan.

Rafizi, yang juga calon Timbalan Presiden PKR, baru-baru ini membuat pendedahan yang menggemparkan apabila mendakwa Azmin pernah berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim di Turki dan meminta Ketua Umum parti itu tidak bertanding bagi membolehkannya menjadi Presiden.

“Dia pergi ke Turki untuk berjumpa dengan Datuk Seri Anwar sendiri. Anwar tengah nak menjalani pembedahan… dia boleh pergi berjumpa, minta dengan Anwar dan berkata ‘Datuk Seri, kamu tak payah bertanding…biar saya jadi Presiden parti’

“Kalau benda ini tak betul, saya tak cakap live macam ini,” kata Rafizi dalam ceramah Reformasi 2.0 di Bandar Baharu Tunjong, baru-baru ini.

Untuk rekod, pada 5 Ogos lalu Anwar diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR. Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar.

Ini bukan kali pertama Rafizi membuat pendedahan mengejutkan yang bertujuan ‘menyerang’ Azmin. Rafizi sebelum ini pernah menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersabit dakwaannya yang mengatakan wujud kegiatan rasuah dan wanita dalam pentadbiran Selangor, yang ketika itu diterajui Azmin.

Menjelang Pemilihan PKR 2018, Rafizi akan berentap dengan Azmin untuk merebut jawatan Timbalan Presiden. Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga pernah menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Azmin bersempena pemilihan parti, namun ia ditolak Azmin.

Pemilihan PKR akan berlangsung selama sembilan minggu mulai September dengan 5 Ogos adalah hari penamaan calon-calon yang ingin bertanding untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat. Proses pengundian PKR diadakan mengikut zon dan melibatkan 900,000 anggota yang layak mengundi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.