TMJ Sindir Pegawai Khas Timbalan Menteri Intip Bawah Skirt Wanita

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyindir tingkah laku seorang pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri yang didakwa merakam video di bawah skirt seorang staf wanita di premis sebuah kedai cermin mata.

Menerusi laman sosial Instagram dan Twitternya, Tunku Ismail sambil berbaring dan bersahaja membuat teguran diikuti gelak ketawa sebagai isyarat sinis.

“Sampai ke bawah skirt pun dia intip” katanya ringkas.

Sindiran TMJ itu turut dirasakan mempunyai kaitan dengan dakwaannya berhubung keluarga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang diintip dan diperhatikan oleh kerajaan.

Menurut Tunku Ismail kerajaan sedang memantau beliau serta Sultan Johor menggunakan peranti khas buatan Israel dan maklumat mengenai pengintipan berkenaan disampaikan kepada beliau oleh seseorang yang tidak didedahkam identitinya.

Dalam kejadian yang turut berlaku kelmarin, seorang pekerja kedai cermin mata membuat laporan polis terhadap pegawai Datuk Azis Jamman selepas mendakwa lelaki itu telah melakukan perbuatan biadap apabila merakam video di bawah skirt seorang pekerja wanita di premisnya.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera litar tersembunyi (CCTV) di kedai yang terletak di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Video terkutuk lelaki itu tular di laman sosial dan mendapat kritikan hebat daripada netizen.

Kes tersebut kini sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang ramai turut diingatkan pihak berkuasa agar menghentikan penularan video berkenaan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.