Terjawab! Kerusi Port Dickson Dikosongkan Untuk Beri Laluan Kepada Anwar

PETALING JAYA: PKR hari ini mengumumkan kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen.

Perkara itu diumumkan  sendiri oleh penyandang kerusi berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Danyal berkata, beliau bersetuju memberi laluan kepada Anwar agar Presiden PKR itu dapat meneruskan perjuangan dalam PH.

“Sudah tiba masanya Anwar meneruskan pelan reformasi,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Keadilan, di sini, sebentar tadi.

“Saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson kepada Speaker Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menurut Saifuddin, keputusan berhubung kekosongan kerusi itu turut dipersetujui pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti dalam PH iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

“Kita bersetuju untuk meneruskan Anwar sertai semula sebagai Ahli Parlimen. Kalau Anwar dapat dimenangkan, ini akan dapat menambah nilai dan menguatkan kedudukan Pakatan Harapan (PH),”katanya.

Ini adalah kali ketiga wakil rakyat PKR mengosongkan kerusi mereka bagi memberi laluan kepada Anwar dalam tempoh satu dekad.

Pada 2008 misalnya, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepadanya kembali ke Parlimen.

Menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi selepas mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Hamat (Angkatan Keadilan Insan Malaysia).

Enam tahun kemudian, PKR menggerakkan pula ‘Langkah Kajang’ bagi membolehkan Anwar menjadi wakil rakyat di Selangor dalam usaha menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Untuk tujuan berkenaan, ADUN Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu pada 27 Januari 2014 untuk membolehkan Anwar bertanding di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun hasrat tersebut tidak kesampaian selepas Anwar dihalang daripada bertanding ekoran sabitan oleh Mahkamah Rayuan berhubung kes liwatnya.

Dr Wan Azizah kemudian menggantikannya sebagai calon.

Beliau memenangi pilihan raya itu setelah menewaskan Datin Paduka Chew Mei Fun daripada Barisan dengan majoriti 5,379 undi.-SuaraTv

One thought on “Terjawab! Kerusi Port Dickson Dikosongkan Untuk Beri Laluan Kepada Anwar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.