Pilihan Raya Libatkan PKR Seharusnya Dibuat Selepas Pemilihan Parti, Kata Timbalan AMK

KUALA LUMPUR — Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin berkata mana-mana pilihan raya kecil yang melibatkan PKR seharusnya dibuat selepas pemilihan parti.

Memetik laporan MalayMail, kenyataan Dr Afif yang juga Exco Pulau Pinang itu dipercayai merujuk kepada hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kembali ke Parlimen dalam masa terdekat ini.

“Masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya kecil adalah setelah pemilihan parti. Satu langkah demi satu langkah, dengan penuh sabar dan tertib,” kata Dr Afif menerusi coretan di Twitternya semalam.

Hari ini PKR mengumumkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah telah dikosongkan bagi membolehkan Anwar bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Dalam perkembangan berkaitan, semalam, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mencadangkan parti itu membuat mesyuarat rasmi terlebih dahulu bagi membincangkan kerusi yang sesuai ditandingi Anwar.

“Saya rasa (Naib Presiden PKR) Tian Chua mengeluarkan kenyataan berhubung adakah PKR sebuah parti kongsi gelap itu merujuk kepada kenyataan Rafizi yang mendakwa perbincangan berhubung kerusi Parlimen untuk (ditandingi) Anwar melibatkan dua tiga orang sahaja.

“Jadi saya sebagai pemimpin tertinggi dalam parti PKR mencadangkan agar satu mesyuarat rasmi diadakan bagi tujuan itu,” kata Zuraida – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.