Pemimpin Parti Amanah Letak Jawatan, Kecewa Pimpinan Gagal Selesai Masalah

PASIR PUTEH – Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Pasir Puteh, Mohd Sabri Salleh mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin dan keluar dari parti berkenaan.

Mohd Sabri ketika dihubungi Sinar Harian berkata, tindakan itu tidak dibuat secara tergesa-gesa malah melalui penelitian sejak beberapa bulan lalu.

“Kecelaruan dalam Amanah menyebabkan saya melakukan istikharah dan tindakan dibuat melalui petunjuk yang diperoleh. Walaupun berat hati tapi saya terpaksa, saya yakin tindakan saya ini tidak akan mengurangkan kekuatan Amanah.

“Jutaan terima kasih kepada sahabat semua, semoga ukhuwah antara kita berpanjangan walaupun mungkin berbeza pendapat dalam beberapa perkara,” katanya.

Menurutnya, dia kecewa dengan pimpinan Amanah yang gagal menyelesaikan permasalahan semasa.

“Kita patut contohi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan isu berkaitan mereka.

“Pimpinan perlu tunaikan hasrat pemimpin di bawahnya untuk berjumpa dengan pimpinan tertinggi bagi menyelesaikan permasalahan, jangan pandang remeh perkara begini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sabri ialah sepupu kepada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan adik kepada Setiausaha Dewan Ulama Pas, Dr Nik Zawawi Salleh. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.