Pasukan Futsal Sabah Tarik Diri Sukma 2018

IPOH — Pasukan futsal lelaki dan wanita Sabah menarik diri daripada menyertai Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 berikutan seorang daripada pemain pasukan itu didapati positif beguk.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata 30 lagi pemain serta lima pegawai pasukan futsal Sabah pula disyaki dijangkiti virus tersebut.

Katanya pemain wanita berumur 16 tahun itu disahkan positif virus beguk oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Beliau berkata 11 atlet melibatkan tujuh lelaki dan empat wanita yang disyaki beguk diasingkan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan semuanya diberi rawatan simptomatik serta berada dalam keadaan stabil.

“Sementara 19 atlet lelaki dan lima wanita serta lima pegawai terdedah kepada kes disahkan beguk tetapi tidak mengalami gejala, namun mempunyai sejarah hubungan yang rapat telah diasingkan sejak 7 Sept lalu,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Howard berkata kesemua atlet diasingkan di satu penginapan di Manjung dan mereka akan pulang ke Sabah dalam masa terdekat.

Beliau berkata jawatankuasa penganjur memberi peluang kepada kontinjen Sabah bagi menukar pemain futsal, namun mereka memutuskan untuk menarik diri daripada temasya sukan berkenaan.

“Saya pasti mereka sudah berlatih bersungguh-sungguh, namun disebabkan jangkitan ini membuatkan atlet yang terlibat gagal bertanding. Kami amat prihatin dan sedih berlakunya kes ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua kontinjen Sabah, Arunarnsin Taib berkata keputusan menarik diri itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa dan risiko penularan virus tersebut kepada pasukan lain.

Beliau berkata pihaknya amat kesal kerana pasukan futsal Sabah tidak dapat bersaing pada temasya Sukma kali ini.

“Kedua-dua pasukan futsal lelaki dan wanita Sabah telah berlatih bersungguh-sungguh, namun atas faktor kesihatan atlet-atlet daripada kontinjen negeri lain, kami akur dan mengambil keputusan yang berat ini,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.