Maut Jatuh Pokok Cempedak

MARAN: Selepas hampir 24 jam dilaporkan hilang, seorang lelaki ditemui maut selepas terjatuh dari pokok cempedak setinggi 12 meter di Perumahan Kilang Sawit FELDA Jengka 8, di sini, petang semalam.

Mayat Mat Radzi Mat Isa, 40, ditemui penduduk dalam keadaan terbaring atas tanah kira-kita jam 2.30 petang.

Abang sulung mangsa, Tahir Mat Aris, 56, berkata, Allahyarham yang juga anak kelapan daripada 10 beradik dikatakan keluar dari rumah jam 10 pagi Isnin lalu untuk mengambil buah cempedak di kebun peninggalan peneroka FELDA berkenaan.

“Ayah, (Mat Isa Mat Aris, 76,) ingat adik tidur di rumah kawan kerana tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam.

“Seorang peneroka kemudiannya memaklumkan menemui mayat adik di tepi pokok cempedak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Jengka 8, di sini, hari ini.

Katanya, dia sekeluarga reda dengan kejadian yang menimpa adiknya yang bekerja kampung dan masih bujang itu.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di FELDA Jengka 8, pada jam 1 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman, berkata mangsa maut akibat cedera parah di dada.

Katanya, polis mengesahkan kejadian itu tidak membabitkan unsur jenayah dan mengklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.