Manifesto PH Tak Sebut Turun Petrol Hingga RM1.50, kata Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah menafikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) merancang untuk menurunkan harga petrol sehingga paras RM 1.50 seliter.

Menurut Amiruddin, manifesto PH bagi Pilihan Raya Umum lepas tidak menyenaraikan perkara itu sebagaimana yang didakwa segelintir pihak.

“Saya mencari di mana RM1.50 (disebut) dalam buku Pakatan Harapan, tetapi tidak ada. Tidak tahulah jika ada pihak yang dalam keghairahan berkempen menjanjikan perkara itu,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Tambah Amiruddin, kerajaan tiada rancangan sedemikian kecuali jika harga minyak mentah dunia turun ke paras itu.

Terdahulu Senator Datuk Ng Chiang Chin bertanya mengenai jumlah subsidi minyak yang dibelanjakan dan rancangan kerajaan untuk menurunkan harga minyak ke RM1.50 yang dikatakan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Mengulas lebih lanjut, menurut Amiruddin, jumlah subsidi petrol bagi RON95 dan diesel yang ditanggung kerajaan bagi tempoh Mei hingga Julai lalu adalah sebanyak RM1.667 bilion.

Katanya, pada masa ini kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 dan RM2.18 seliter walaupun harga sebenar pasaran adalah lebih tinggi daripada harga yang dikekalkan.

Beliau berkata, mekanisme terperinci mengenai pelaksanaan sistem subsidi petroleum secara bersasar sedang dikaji dan akan diumumkan setelah ia dimuktamadkan.

Menerusi sistem subsidi bersasar itu, subsidi petrol diberikan pada kadar yang sesuai setiap bulan dan mengikut satu kuota yang ditetapkan kepada golongan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyifatkan janji PH untuk menurunkan harga minyak sehingga ke paras RM1.50 tidak mungkin mampu dilaksanakan.

Kata Najib, beliau berkata demikian atas pengalamannya yang pernah menjadi menteri Kewangan, selain mengetahui implikas sekiranya harga minyak diturunkan kepada RM1.50 seliter. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.