Kosongkan PD tak ikut saluran, kata Ketua Wanita PKR

SHAH ALAM – Pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson nampaknya menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pemimpin PKR, ia terbukti apabila Ketua wanita PKR Zuraida Kamaruddin bersuara dan mendakwa keputusan tersebut tidak dibuat menerusi saluran yang sepatutnya.

Jelasnya dalam kenyataan media hari ini, keputusan yang diumumkan hari ini dibuat tanpa mesyuarat dan mempertimbangan suara anggota parti.

“Tindakan yang dibuat sesetengah pemimpin PKR dilihat dangkal kerana tidak mengikut saluran betul dalam memutuskan untuk mengosongkan kerusi parlimen Port Dickson.

“Setiap keputusan perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi,” katanya.

Zuraida menyifatkan kesan negatif bakal dihadapi oleh parti khususnya dari aspek perspektif dengan tindakan yang diambil demi memberi laluan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Mengulas lanjut, Zuraida berkata setiap anggota PKR dan juga rakyat Malaysia ingin melihat Anwar kembali ke Parlimen namun ia perlu diputuskan mengikut saluran yang betul sebagai permulaan yang baik.

“Penting untuk semua pimpinan menjunjung tinggi agenda reformasi yang kita perjuangkan. Saya amat berharap Anwar sendiri akan menyatakan pendirian tentang perkara ini,” tambahnya.

Untuk rekod, Naib Presiden PKR Tian Chua turut membidas Rafizi kerana menurutnya bekas anggota parlimen Pandan itu merancang PRK secara rahsia.

Ia susulan daripada kenyataan Rafizi bahawa “keputusan penting tidak dibincangkan dengan semua orang dan hanya diselesaikan dengan beberapa orang di kalangan kita”.

Hari ini Datuk Danyal Balagopal Abdullah umum meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson demi memberi laluan Anwar bertanding.

Langkah ini bagi memudahkan langkah Anwar menjadi Perdana Menteri.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.