Kosongkan Kerusi Niat Murni, Kata Saifuddin

PETALING JAYA- Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution menafikan keputusan wakil rakyat parti itu yang mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu bentuk pengkhianatan. 

Beliau sebaliknya menyifatkan tindakan tersebut merupakan sesuatu yang murni demi menjayakan konsensus Pakatan Harapan (PH).

“Khianat ini adalah apabila kita curi duit rakyat,”katanya ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Keadilan, di sini, hari ini. 

Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dalam sidang media yang sama mengumumkan akan mengosongkan kerusi yang disandang beliau bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke parlimen.

Danyal berkata beliau bersetuju memberi laluan kepada Anwar agar Presiden PKR itu dapat meneruskan perjuangan dalam PH.

Sementara itu, tambah Saifuddin, isu pengkhianatan tidak timbul memandangkan Anwar adalah merupakan Ahli Parlimen sebelum diheret ke penjara. 

“Dalam satu sistem demokrasi, di mana jalan untuk kita mewakili rakyat dalam parlimen adalah melalui sistem pilihan raya, dan dalam kedudukan ini, ia dibuat dengan maksud yang khusus, bagi melaksanakan satu ketetapan konsensus. 

“Sebelum ini Anwar juga adalah Ahli Parlimen tapi terhalang untuk berkhidmat kerana diheret ke penjara.

“Kini beliau (Anwar) bebas untuk mengambil bahagian. Dan ada Ahli Parlimen Keadilan yang berpendapat bahawa sekiranya beri laluan kepada Anwar, dia akan dapat menjayakan sebahagian misi besar iaitu konsensus Pakatan Harapan. 

“Jadi niat murni itu saya tidak anggap sebagai satu pengkhianatan. Kerana ia melalui satu proses ‘legitimate’..jika Anwar menang, dia akan wakili kawasan itu,” kata Saifuddin. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.