Kerajaan PH Mudah Melenting Bila Ditegur – TMJ

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menyatakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan sekarang mudah melenting apabila ditegur, di laman sosial Facebook miliknya.

TMJ menulis tindakannya bersuara mengkritik kerajaan telah menyebabkan sesetengah pihak berasa kurang senang dan memberi kesan kepada dirinya dan keluarga termasuklah akan dipantau oleh kerajaan jika ia memudaratkan.

“Nampaknya dengan saya bersuara lagi sekali membuat setengah pihak kurang senang.

“Seorang penulis telah berkata, bahawa “tersesat dalam kancah arena politik” akan meletakkan keluarga saya dan diri saya sendiri berisiko menjadi ‘mangsa serangan’ dan status kami akan ‘direndahkan’,” tulis TMJ.

Dalam tulisan TMJ, beliau menyatakan adalah tugasnya untuk bercakap benar biarpun berdepan dengan pelbagai risiko atau kesan dan ia dikira sebagai tanggungjawab dan tugas untuk dilaksanakan kepada rakyat.

“Berdasarkan prinsip, saya tidak pernah mengambil jalan mudah. Saya percaya ia adalah tugas kami untuk bercakap benar dan tanpa mengira akibat dan kesannya.

“Apa yang penting kepada saya adalah rakyat saya. Status saya hadir dari khidmat saya kepada rakyat dan bercakap benar adalah salah satu tugas saya,” tulisnya lagi.

Kerabat Diraja ini juga menyatakan tidak kisah dipantau dan sanggup meletakkan egonya ke tepi demi memastikan rakyat mengetahui perkara yang benar dan salah mengenai kerajaan sekarang ini.

Tegas katanya, tindakan bersuara dan mengkritik itu bukanlah dilihat Polisi Johor sebagai menentang kerajaan tetapi sentiasa berwaspada dengan perkara yang salah yang terjadi dan tidak boleh dianggap remeh.

“Biar saya jelaskan disini – Saya bukan bercakap kerana ingin menentang kerajaan. Polisi Johor adalah menyokong mereka yang mentadbir negara. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh mengambil sebagai perkara yang remeh. Kami mesti sentiasa berwaspada dan bersuara apabila ada perkara salah telah berlaku,” terangnya lagi.

Seorang wartawan veteran, A Kadir Jasin Ahad lalu merujuk kepada Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sedang dipantau oleh pihak kerajaan kerana tegas bersuara mengkritik pimpinan kerajaan Pakatan Harapan melalui laman sosial.

Jika ia berterusan, A Kadir berkata, ia akan memberi kesan kepada diri dan keluarga yang terlibat dengan dunia politik yang seterusnya menyimpang atau tersesat dari pejuangan politik yang sebenar.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.