Dewan Negara Tolak Mansuh RUU Anti Berita Tak Benar

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini menolak usul pemansuhan Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar 2018 selepas dibacakan buat kali kedua.

Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran, selepas hasil undian belah bahagi dilakukan oleh ahli-ahli Dewan Negara.

Dalam undian itu, seramai 28 ahli Dewan Negara menolak pemansuhannya, manakala hanya 21 yang menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.

Usul undi belah bahagian dikemukakan Senator Khairul Azwan Harun (BN) sebaik sahaja Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin selesai menggulung RUU itu untuk bacaan kali kedua.

RUU itu yang bertujuan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018 selepas bacaan kali ketiga. 

Bagi mengikut Peraturan 45 (4), Vigneswaran kemudiannya mengarahkan loceng dibunyikan selama dua minit bagi membolehkan proses undi belah bahagian dijalankan.

Untuk rekod, RUU Anti Berita Tidak Benar dibentangkan sebelum PRU14 oleh Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu), yang  

kemudiannya diluluskan Dewan Negara pada 3 April lalu. 

RUU berkenaan mengundang rasa tidak puas hati pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyifatkannya sebagai ‘senjata’ BN untuk menyekat suara mereka daripada bersuara dan mendedahkan ‘kebenaran’.

Namun menurut Azalina, tujuan memperkenalkan RUU tersebut bukan sama sekali untuk menyekat kebebasan bersuara sebaliknya bertujuan mengekang penularan berita tidak benar. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.