Perdana Menteri Malaysia: Trump, Kami Sokong Anda Menentang ISIS

Tulisan asal oleh:
Bernama, 12 September 2017

Artikel oleh Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia. Diterbitkan dalam The Hill pada 11 September 2017.

Dunia hari ini menghadapi pergolakan dalam pelbagai aspek. Dari Harvey dan Irma di Amerika Syarikat, ke ancaman pertambahan nuklear, radikalisasi dan tindakan keganasan yang baru dan lebih dahsyat di seluruh dunia, negara-negara memerlukan rakan kongsi yang kukuh dan kuat.

Itulah sebabnya apabila Malaysia baru-baru ini merayakan ulang tahun ke-60 kemerdekaan kami, saya sangat gembira menerima mesej ini dari kedutaan A.S. di ibu negara kami, Kuala Lumpur: Kami sangat berbangga menjadi rakan anda sejak awal lagi!

Presiden Trump dan saya akan menandakan enam dekad hubungan dua hala yang kukuh apabila kami bertemu di White House pada hari Selasa, tetapi hubungan antara negara kita sudah bermula jauh lebih lama lagi dalam sejarah.

Sebagai contoh, getah kami adalah penting untuk pertumbuhan industri automobil Amerika, dan permintaan itu memacu pertumbuhan ekonomi kami sendiri – satu contoh awal kerjasama yang saling menguntungkan antara negara kita.

Hubungan Malaysia-A.S., juga bukan hanya setakat hubungan perdagangan. Apa yang mengukuhkan lagi berdekad-dekad hubungan mesra, produktif dan dan saling bekerjasama ini adalah nilai-nilai mendalam yang kita kongsi. Komitmen kami untuk memerangi radikalisasi dan keganasan adalah sesuatu yang kami rasa di dalam hati kami, serta merancang dan melaksanakan dasar-dasar kami dengan tenang dan rasional.

Kepercayaan kami dalam perdagangan yang bebas dan adil dan pembangunan ekonomi yang inklusif ada dalam darah kami, seperti mana kami selama ini adalah negara perdagangan melalui laut, sejak berabad-abad yang lalu.

Dan kepatuhan kami kepada pemerintahan yang stabil dan demokratik ditunjukkan dalam sejarah kami sejak kemerdekaan. Pilihanraya kami sangat sengit, sama seperti di Amerika, dengan pelbagai pihak memenangi pelbagai negeri pada masa yang berlainan. Kami juga berkongsi komitmen A.S. untuk perintah global yang berasaskan peraturan, seperti Korea Utara yang mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Nilai-nilai ini adalah mengapa hubungan kita secara rasmi meningkat ke tahap yang lebih tinggi pada tahun 2014 sebagai Kerjasama Komprehensif rasmi. Ini bermakna kedua-dua negara komited untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang politik dan diplomatik, dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan hubungan rakyat, keselamatan dan pertahanan, antara lain.

Tidak ada contoh yang lebih baik dari kerjasama ini daripada usaha bersama kita menentang ekstremisme yang ganas. Dunia berubah pada 11 September 2001, dan Amerika telah mengalami serangan lebih lanjut ka atas negaranya yang diilhamkan oleh ideologi palsu dan toksik yang sama.

Negara saya juga terpaksa menangani ancaman ISIS, yang dikenali sebagai Daesh di kawasan ini. Setakat ini, hanya satu sahaja serangan berkaitan Daesh yang berjaya dilakukan di Malaysia (dan, kami bersyukur kerana tidak ada kematian akibat serangan itu), tetapi itu bukan kerana tidak mahu mencuba. Musuh anda – mereka yang bersumpah atas agama majoriti rakyat Malaysia dengan mendakwa keganasan mereka adalah berunsurkan Islam – adalah musuh kami juga.

Kami telah berjuang menentang Daesh dengan mempromosikan kesederhanaan, dan melalui program pemberantasan yang mempunyai kadar kejayaan sebanyak 90 peratus. Kami telah memerangi ini melalui perkongsian perisikan dan tindakan anti-keganasan di rantau kami dan juga diluar. Saya bangga untuk mengatakan bahawa Polis Diraja Malaysia telah berjaya menggagalkan sekurang-kurangnya 13 serangan pengganas utama sejak 2012.

Dan kami telah memerangi ini dengan menjadi rakan kongsi dalam gabungan global yang diketuai AS. untuk mengalahkan Daesh, dan melalui dialog strategik antara Kementerian Pertahanan dan Pentagon. Yakinlah, Malaysia akan sentiasa berganding bahu dengan Amerika dalam misi penting ini untuk menghapuskan kumpulan pengganas yang tindakannya sangat menjijikkan bagi seluruh manusia.

Di bahagian ekonomi, AS adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia pada tahun 2016, sementara Malaysia adalah yang ke-18 terbesar bagi AS. Sejak hampir 40 tahun yang lalu, Amerika telah menjadi pelabur asing kedua terbesar kita – dan laporan dari U.S. News and World Report dan Wharton School di Pennsylvania State University baru-baru ini mengisytiharkan Malaysia sebagai negara terbaik untuk melabur.

Saya berharap dapat menggalakkan lebih banyak lagi rakyat Amerika dan firma A.S. untuk melihat negara kita sebagai destinasi peluang yang hebat, dengan tenaga kerja yang bersemangat, berpendidikan, mesra dan fasih berbahasa Inggeris.

Sebagaimana yang akan diketahui mana-mana pelawat ke Malaysia, firma, bank, jenama, makanan dan pakaian AS terdapat di mana-mana sahaja di negara kita. Rakyat Malaysia sangat mengenali AS dan, sama seperti di Amerika, kita juga mempunyai campuran etnik dan agama yang meraikan budaya kita ketika bersatu sebagai rakyat Malaysia yang bangga, sama seperti setiap orang Amerika yang bangga dengan Bintang dan Jalur bendera mereka.

Secara peribadi, saya sentiasa berbesar hati untuk pergi ke AS, sebuah negara yang hebat yang saya telah lawati banyak kali sejak saya masih belia. Saya masih ingat apabila saya tiba di New York sebagai seorang siswazah muda dan sangat kagum dengan muzik, makanan, seni bina dan keindahan kota. Rasa suka saya kepada negara anda tidak pernah luntur, dan begitu juga beribu-ribu rakyat Malaysia yang telah tinggal, bekerja dan belajar di Amerika.

Dalam perbincangan saya dengan Presiden Trump dan lain-lain, saya berharap untuk mengukuhkan lagi ikatan kita. Sekiranya Amerika ingin mencari rakan kongsi untuk keamanan, untuk kemakmuran dan untuk keselamatan dalam dekad-dekad yang akan datang pada abad ke-21, ia akan mencari seorang kawan yang setia dan teguh dalam Malaysia. Semoga persahabatan ini akan terus kekal untuk 60 tahun akan datang.

Link asal artikel:
http://www.bernama.com/bernama/v8/ge/newsperspectives.php?id=1390455

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.