Lelaki Maut Kereta Terbabas Rempuh Plaza Tol Lima Kedai

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh Plaza Tol Lima Kedai, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Nor Hashim Mohamed berkata, dalam kejadian pukul 11.15 malam itu, mangsa, Chong Yue Sheng, 26, yang memandu dari arah Gelang Patah ke Senai maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian mangsa yang menyebabkan kereta hilang kawalan lalu terbabas dan berpusing lalu melanggar besi penghadang jalan di dalam kawasan plaza tol.

“Mayat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan tersebut berjaya dikeluarkan dan dihantarkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat,” katanya yang dihubungi di sini sebentar tadi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.