Bacaan Ayat Al-Quran Penuhi Ruang Legar Istana Anak Bukit

ALOR SETAR – Alunan ayat suci al-Quran memenuhi ruang legar Istana Anak Bukit di sini, yang menempatkan jenazah Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat pada usia 89 tahun petang semalam.

Sejak awal pagi ini, petugas istana yang lengkap berpakaian serba hitam, sibuk dengan tugas masing-masing bagi memastikan istiadat pemakaman diraja berjalan lancar.

Petugas media dilihat membuat persiapan peralatan dan menentukan kedudukan mereka.

Mengikut jadual, Istiadat Bersiram Jenazah bermula jam 8 pagi dan diikuti istiadat mengkafan dan menabur cendana.

Rakyat jelata diberi peluang memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, diikuti golongan kenamaan pada 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari di ruang bersemayam di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.

Pengiringan jenazah Almarhum dari Istana Anak Bukit ke Makam Diraja Langgar dijadual bermula 2 petang dan istiadat dijangka selesai menjelang Asar. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.