Ibu Abdul Latif Sebak Anak ‘Nakal’ Harumkan Negara

ARAU – Usaha gigih anak muda Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri di sini nyata tidak sia-sia apabila meraih pingat emas ketiga negara di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, pada Ahad.

 

Abdul Latif Romli, 19, bukan sahaja menjuarai acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) selepas menewaskan 11 peserta lain, malah turut mencipta rekod dunia 7.6 meter, mengatasi rekod lama 7.35m miliknya sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lepas.

 

Ibunya, Salmah Yatim, 58, berkata kejayaan anak bongsunya yang kurang upaya intelektual itu seperti bulan jatuh ke riba kerana pencapaian tersebut amat besar bagi seorang anak istimewa yang masih muda dan cetek pengalaman.

 

“Saya terharu dan seperti bermimpi dengan kejayaannya kerana dia antara anak yang ‘nakal’ tetapi dia juga yang telah membanggakan keluarga,” katanya penuh sebak sambil menangis gembira.

 

Keluarga Abdul Latif ditemui pemberita selepas menyaksikan kemenangan anaknya secara langsung menerusi Youtube di Pusat Khidmat Parlimen Arau di sini, malam tadi.

 

Terdahulu pada Sabtu (awal pagi Ahad waktu Malaysia), dua pingat emas negara disumbang Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) yang turut mencipta rekod dunia.

 

Bapa Abdul Latif, Romly Mat, 63, pula bersyukur dengan kejayaan berkenaan dan berharap pengalaman berharga itu mampu mendorong anaknya untuk lebih berjaya dan berbakti.

 

“Saya sentiasa sokong usaha dia, jauh sekali mengharap dia meraih emas kerana apabila dia jadi ‘orang’ saya sudah cukup bersyukur,” katanya.

 

Turut hadir di pusat itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan atlet paralimpik Perlis yang meraikan kejayaan Abdul Latif dengan menyanyikan lagu Negaraku. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.