Abdul Latif Tiga Kali Cipta Rekod Dunia, Raih Emas Ketiga Negara

KUALA LUMPUR – Kontinjen Paralimpik 2016 negara di Rio de Janeiro, Brazil meneruskan rentak kecemerlangan mereka dengan menjelmakan pingat emas ketiga menerusi Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 semalam.

 

Bukan sahaja membawa pulang pingat emas, Abdul Latif, 19, juga turut mencipta rekod baharu dunia sebanyak tiga kali iaitu 7.47 meter pada lompatan kedua, 7.54 meter pada lompatan ketiga dan 7.60 meter pada lompatan kelima.

 

Rekod lama dunia acara itu adalah 7.35 meter.

 

Dengan kejayaan itu, bakal menanti Abdul Latif adalah hadiah di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bernilai RM1 juta, elaun pencen seumur hidup bernilai RM5,000 sebulan dan insentif RM20,000 kerana berjaya memecahkan rekod dunia.

 

Sebelum ini pada hari pertama acara olahraga dilangsungkan semalam, kontinjen paralimpik negara berjaya meraih dua pingat emas menerusi Muhamamd Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 dengan catatan rekod baharu dunia iaitu 16.84 meter dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 dengan catatan rekod baru temasya iaitu 12.07s. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.