Kami Tak Sertai Pakatan 2.0 Jika Ada Amanah – PAS

Kuala Lumpur – PAS akan menolak sebarang tawaran menyertai gabungan baru parti pembangkang selagi ia termasuk pemimpin daripada Parti Amanah Negara (Amanah), kata pemimpin utama parti itu hari ini.

 

Pemimpin PAS dihubungi Malay Mail Online juga berkata setakat ini PKR atau parti pembangkang lain tidak berusaha untuk menghubungi atau meletakkan PAS dalam gabungan baru itu yang disebut Pakatan Rakyat 2.0.

 

“Buat masa ini, kami tidak menganggotainya kerana kami tidak boleh bekerja dengan Parti Pekerja. Saya tidak menggunakan nama Amanah untuk parti baru ditubuh oleh serpihan PAS kerana mereka belum mendaftarkan secara rasmi nama berkenaan,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

 

“Kami tidak akan bekerja dengan mereka kerana mereka meninggalkan PAS,” tambah beliau, merujuk kepada pemimpin Amanah.

 

Baru-baru ini, Amanah mengumumkan mereka akan mengambil alih Parti Pekerja Malaysia dan mendapatkan sekurang-kurangnya 35,000 ahli menjelang akhir bulan ini.

 

Mohd Amar berkata, setakat ini tidak ada seorangpun daripada PKR menghubungi PAS untuk membincangkan menubuhkan gabungan baru pembangkang.

 

“Kami belum membincangkan apa-apa. Tetapi boleh menegaskan PAS tidak akan terjejas dengan parti baru pekerja ini,” tambahnya.

 

Ketua Perhubungan PAS Nasrudin Hassan Tantawi memberitahu Malay Mail Online, bagi dirinya pakatan lama pembangkang, PR, masih berfungsi kerana PAS masih mengekalkan hubungan kerja dengan PKR.

 

“Tiada perbincangan mengenai Pakatan 2.0 kerana ia belum lagi ditubuhkan. Kita belum tahu lagi bagaimana rupa bentuk PR 2.0.

 

“Oleh itu, bagi PAS keadaan adalah seperti biasa,” tambahnya.

 

Awal hari ini, pemimpin tertinggi PKR berkata, PAS masih diperlukan dalam gabungan baru bagi memastikan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

 

Mereka menyeru semua parti pembangkang supaya mengenepikan perbezaan dan bekerja ke arah membentuk gabungan yang kukuh sebelum pilihan raya umum ke-14.

 

“Tiada parti yang boleh bergerak sendiri. Kita mesti mengenepikan perbezaan, kita sedang menghadapi krisis besar,” kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali kepada pemberita apabila ditemui di sidang akhbar di ibu pejabat PKR di sini.

 

Azmin berkata, PKR mengambil pendekatan ‘terbuka’ terhadap perkara itu dan akan memastikan kerjasama sihat dengan PAS.

 

“Kita terbuka kepada semua individu, kita dalam PKR adalah konsisten.

 

“Kita bertemua dengan semua parti, DAP, Amanah dan presiden berkata, beliau akan menemui PAS… ia satu proses, tambahnya, merujuk kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.