Video: Dah Jadi Menteri, Dia Naik Kepala, Kata Kem Pro Rafizi

PETALING JAYA – Bahang kempen pemilihan PKR bermula bulan depan kian terasa. Kumpulan pro Rafizi Ramli, yang memperjuangkan agenda reformasi, dilihat lebih terkedepan dalam mengerakkan kempen dan menyerang lawan.

Malam tadi di Seremban kumpulan itu mensasarkan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang didakwa tidak membawa banyak perubahan, sebaliknya menjadi punca pelbagai kepincangan semasa menerajui sayap parti itu.

“Kita lihat kepincangan berlaku sejak akhir-akhir ini, kalau kita biarkan Zuraida Kamaruddin dan sekutunya menerajui Wanita PKR maka pincanglah pergerakan Wanita seperti yang berlaku sekarang,

“Wanita PKR sekarang tidak berfungsi seperti yang sepatutnya. Kita lihat hari ini apakah yang terjadi setelah kuasa diberi kepada dia (Zuraida).

“Dah jadi menteri dia naik kepala,” kata calon naib ketua Wanita PKR, Datin Faezah Ariffin dalam ceramah sempena program jelajah Debat Reformasi 20 Tahun peringkat Negeri Sembilan malam tadi.

“Apa kenyataan dia baru-baru ini? Dia kata bukan semua daripada kita PKR boleh beri kerusi kepada Anwar. Patut ke dia buat kenyataan macam itu? Kalau dia tak nak beri takpalah, orang lain semua boleh beri,” kata Faezah lagi.

Beliau merujuk kepada laluan yang perlu diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam satu pilihan raya kecil bagi membolehkan beliau dipilih sebagai seorang Ahli Parlimen dan memudahkan proses peralihan kuasa bagi jawatan perdana menteri.

Mengulas lanjut, Faezah menyeru ahli PKR menolak Zuraida dengan mendakwa Ahli Parlimen Ampang itu seorang “kaki projek”, sekali gus meminta mereka memberi sokongan kepada calon ketua Wanita mewakili kumpulan pro-Rafizi, Fuziah Saleh mengemudi sayap parti reformasi itu.

“Kalau dia (Fuziah) menang beliau akan dilantik menjadi ketua wanita Pakatan Harapan. Kita mahu wanita berkualiti. Kita dah beri Zuraida cukup masa, tetapi yang dia tahu ialah ‘projek’. Saya yakin ada di antara kita yang dia jumpa cakap akan bagi projek itu dan ini. Apa akan jadi dengan PKR kalau inilah yang diterapkan kepada ahli kita,” katanya lagi.

“Ini kita perlu kekang. Kali ini kita kena pilih ketua Wanita yang boleh membawa keadilan. Kita kena pastikan ‘geng kartel’ ini terkubur dan tidak ada ruang dalam PKR hari ini,” kata beliau.

Faezah berkata, berdasarkan pengalaman Fuziah sebagai Ahli Parlimen selama 3 penggal, banyak perubahan boleh dilakukannya sekiranya diber peluang menerajui sayap wanita parti.

Fuziah, yang merupakan Ahli Parlimen Kuantan akan ditentang oleh Haniza Talha sementara Zuraida bertanding merebut jawatan naib presiden PKR dalam pemilihan kali ini.

Zuraida dan Haniza dikatakan menyokong penyandang timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bakal berhadapan cabaran bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli untuk jawatan orang No 2 parti itu. – FMT

One thought on “Video: Dah Jadi Menteri, Dia Naik Kepala, Kata Kem Pro Rafizi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.