Kerajaan PH Digesa Tubuh Suruhanjaya DiRaja Buktikan Tuduhan RM18 Bilion Dirompak

KUALA LUMPUR – Sebuah Suruhanjaya DiRaja (RCI) wajar ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ‘merompak’ sejumlah besar RM18 bilion wang tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Dakwaan tersebut yang didedahkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini bukan sahaja membuat rata-rata rakyat Malaysia ‘melompat’ malah pemimpin kerajaan BN pun terkejut dengan tuduhan berat itu.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, M. Mathuraiveran, tuduhan itu sebenarnya bukan sahaja menyebabkan keadaan ‘huru hara’ malah telah mencalarkan imej kerajaan terdahulu.

Malah tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi Koperasi Usahawan India Malaysia Berhad, nama baik penjawat awam bertugas di Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga terseret.

“Tuduhan sehingga rompakan siang hari mencecah RM18 bilion bukan sesuatu yang wajar buat main-main. Ini bukan masa untuk berpolitik, ini adalah wang yang telah diamanahkan oleh rakyat kepada kerajaan. Ini bukan sesuatu yang kita boleh pandang dengan begitu ringan sahaja.

“Saya gesa supaya satu RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan Menteri Kewangan terhadap BN telah merompak sejumlah RM19.4bilion dari tabung ‘Input Tax Credit’ sejak pelaksanaan GST. Jangan setakat penyiasatan dalaman sahaja.

“Jika benar tuduhan itu, sila siasat dengan telus. Sila ambil perhatian kerana jika benar, ini adalah satu jenayah berat dan sekadar siasatan dalaman sahaja tidak langsung mencukupi,” katanya kepada Malaysia Gazette semalam.

Berita Berkaitan;-

Tuduh Hasil GST Dirompak, Petunjuk Jelas Lim Guan Eng Tak Faham Maksud Akaun Disatukan

Bekas KSU Perbendaharaan Lapor SPRM, Gesa Siasat Tuduhan Lim Guan Eng

Beliau mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Guan Eng yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Dewan Rakyat beberapa hari lepas.

Madhu Marimuthu yang juga bekas Pengurus Besar Kumpulan UEM menambah, andainya wang itu telah dirompak ia perlu ‘dipulangkan’ kepada rakyat yang telah menuntut tuntutan GST itu sejak tiga tahun lepas.

Guan Eng mendakwa kerajaan terdahulu yang diterajui oleh BN sebelum ini telah ‘berkomplot’ merompak RM18 bilion daripada RM19. 4 billion dari tabung amanah GST yang bakal dikembalikan kepada perniaga sejak 3 tahun lepas.

Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion.

Bagaimanapun, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Kelmarin bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menafikan dakwaan wujudnya rompakan dana awam bernilai RM18 bilion.

Beliau berkata, dakwaan rompakan yang dibuat Guan Eng itu sebenarnya tidak berasas kerana dana awam itu masih ada dalam simpanan kerajaan dan bukannya dicuri oleh mana-mana pihak.

Manakala, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan membuat laporan kepada SPRM berkenaan dakwaan ‘rompakan’ tabung amanah pembayaran tuntutan semula GST minggu depan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.