Video: Salleh Keruak Tolak Cabaran Debat Penolong Pengarang Utusan

Kuala Lumpur – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak menolak cabaran debat yang dilontarkan Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain berhubung isu dana politik RM2.6 billion.

 

Beliau ketika ditemui SuaraTV berkata pihaknya telah menjawab semua persoalan berhubung dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

 

“Saya telah pun menjawab perkara tersebut dengan jelas, mungkin kita mempunyai (tapi) itulah maksud perbahasan (dan) saya tidak bersetuju dengan pendapat beliau.

 

“Ini kerana beliau mempunyai sudut perspekstif yang berbeza dan saya melihat dari perspektif yang benar (dan) saya katakan ini bukanlah masalah yang besar kerana wang ini adalah hasil derma” katanya kepada SuaraTV sejurus selepas menghadiri Majlis Aidilfitri JASA 2015 di PWTC, Selasa.

 

Salleh berkata isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan dana yang diterima itu bukan rasuah.

 

“Seolah-olah kalau dikatakan dana parti ia perlu masuk ke dalam akaun parti semata-mata sedangkan memang telah menjadi kebiasaan pada kita Presiden (memang sepatutnya) mengurus dana untuk kekuatan parti

 

“Jadi pada saya (isu tersebut) tidak berbangkit sama sekali (dan) saya tidak ingin melayan hal-hal seperti ini, biarlah pembaca yang menilai sendiri kerana ia sebahagian dari demokrasi” tegas beliau lagi.

 

Sebelum ini Ku Seman menerusi entri di blognya berkata, pihaknya sedia berdebat dengan Salleh dan KetuaPengarah Jasa, Datuk Dr Puad Zarkashi yang didakwa telah memutar belit kenyataannya.

 

“Saya mencabar sama ada Salleh (menteri RTM) atau Puad supaya mengatur debat dengan saya mengenai isu fundamental derma RM2.6 bilion yang saya anggap bukan kepunyaan Umno ini.

 

“Kalau disiarkan secara langsung di RTM lagi bagus supaya mereka lebih kelihatan sebagai pembela Najib.  Saya sanggup untuk berdebat satu lawan dua dengan Salleh dan Puad,” katanya semalam.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.