T-Team Azam Bangkit Untuk Tebus Kekecewaan

Kuala Terengganu – “Pastikan tiada mata yang tercicir lagi andai mahu menjuarai Liga Perdana musim ini,” kata tonggak pertahanan pasukan berstatus kelab T-Team, Mohamad Hasbullah Awang.

 

Menyedari misi yang kian sukar, Hasbullah berkata pasukan itu tiada pilihan selain bangkit memastikan kemenangan dalam baki tiga perlawanan mereka musim ini.

 

“Sudah pasti kami akan buat yang terbaik dalam baki perlawanan yang ada. Kami mahu menang semua.

 

“Jika tak dapat muncul juara sekalipun, kami mahu pastikan kedudukan kekal sekurang-kurangnya di tangga kedua sehingga penghujung musim,” katanya selepas perlawanan T-Team menentang DRB Hicom FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

 

Peluang pasukan berkenaan untuk mencabar Kedah bagi kejuaraan Liga Perdana musim ini dilihat kembali berliku selepas kelab yang dikenali sebagai The Titans itu hanya mampu seri 1-1 dengan DRB-Hicom, malam tadi.

 

T-Team yang kini mengumpulkan 38 mata selepas 19 perlawanan kekal di tangga kedua tetapi pendahulu liga, Kedah sudah melebarkan kelebihan kepada empat mata hasil kemenangan 3-2 ke atas JDT II malam tadi.

 

Pada masa sama, T-Team turut diekori rapat oleh pasukan jiran, Pulau Pinang yang hanya ketinggalan dua mata dalam saingan tangga kedua bagi mendapatkan tiket automatik ke Liga Super musim depan.

 

Secara matematik, peluang masih ada untuk The Titans bergelar juara asal mampu mengutip mata maksimum daripada baki tiga perlawanan sambil mengharapkan Kedah, tercicir mata atau tewas dua daripada tiga perlawanan mereka.

 

Bagaimanapun, melihat kepada prestasi semasa, sememangnya agak sukar untuk The Titans kerana Kedah hanya tewas sekali setakat ini iaitu 1-2 kepada PKNS, Mac lalu.

 

Kegagalan T-Team mengutip mata penuh malam tadi turut menyaksikan pengendali mereka, Tomislav Steinbruckner berang dengan persembahan anak buahnya dan memilih tidak mahu ditemubual pemberita, sebaliknya mewakilkan tugas itu kepada Hasbullah.

 

Mengulas lanjut, Hasbullah berkata sebagai pemain, dia dan rakannya sudah cuba memberikan yang terbaik pada perlawanan tersebut.

 

“Alhamdulillah, saya puas hati dengan perlawanan (malam) tadi. Tapi itulah, tak ada rezeki untuk T-Team. Kami ada banyak peluang tapi ia tak dapat dimanfaatkan dengan baik oleh penyerang.

 

“Apapun, kita akan cuba perbaiki masalah ini. Saya harap masalah ini (kegagalan menjaringkan gol) dapat diatasi selepas ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.