Sultan Johor Basah Kuyup Tetap Bertemu Rakyat

LABIS – Hujan lebat tidak menghalang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meneruskan konvoi bermotosikal untuk bertemu rakyat jelata di Kampung Sri Gajah, Chaah dekat sini.

 

Walaupun dalam keadaan basah, Sultan Ibrahim tetap terse­nyum melayani dan bersalaman dengan rakyat berbilang kaum di salah satu lokasi persinggahan Kembara Mahkota Johor 2015 (KMJ 2015) itu.

 

Orang ramai juga berkumpul beramai-ramai dan tidak mahu melepaskan peluang berjumpa dan menatap wajah sultan mereka dari dekat.

 

Turut berangkat Permaisuri Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta anakanda baginda yang lain.

 

Yang turut menyertai konvoi berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis.

 

Sepanjang hampir satu jam berada di Kampung Sri Gajah, Sultan Ibrahim sempat menyaksikan demonstrasi mencantum benih durian.

 

Baginda kemudian meneruskan KMJ yang memasuki hari ke­dua ke Batu Pahat dan Kluang. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.