Sidang Khas Parlimen, Perlu Disegerakan Kata Ahli Parlimen BN

Kuala Lumpur – Sidang khas Parlimen perlu diadakan segera bagi memilih pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

 

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat membolehkan Persidangan Khas Parlimen diadakan tanpa perlu menunggu sidang Parlimen yang akan bermula 19 Oktober.

 

“PAC mesti berfungsi semula secepat mungkin untuk segerakan siasatan kes 1MDB sekali gus tidak menjejaskan proses memanggil saksi berkaitan bagi tujuan mendapatkan keterangan.

 

“Sebarang kelewatan dalam perkara berkaitan PAC boleh menimbulkan pelbagai spekulasi dan persepsi negatif terhadap kerajaan. Pada masa sama, keputusan menyelesaikan pelantikan pengerusi dan AJK PAC juga akan mengukuhkan institusi Parlimen dan keyakinan rakyat secara umumnya,” katanya dalam kenyataan.

 

Rombakan Kabinet baru-baru ini menyaksikan bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan dua bekas AJK PAC iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilantik sebagai timbalan menteri.

 

Manakala, seorang lagi bekas AJK PAC, Datuk Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

 

Dalam pada itu, Irmohizam berkata, keputusan mengemukakan usul bagi mengadakan sidang khas Parlimen tetap tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kabinet yang akan meneliti perkara berkaitan secara terperinci.

 

“Sehingga itu, wajar semua pihak bersabar dan menunggu keputusan kerajaan. Apa yang penting, tidak kira pelantikan pengerusi AJK PAC dilakukan dalam sidang khas atau semasa mesyuarat Parlimen akan datang, PAC mesti teruskan tugas termasuk melakukan siasatan secara telus ikut undang-undang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.