Semua Parti Terima Derma, Dana Politik – Nazri

KUALA LUMPUR – Semua parti politik menerima wang derma untuk pilihan raya dan hal itu tidak salah dari sudut undang-undang, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

 

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, semua parti politik memerlukan sumbangan untuk membiayai pilihan raya dan sumbangan syarikat-syarikat kepada parti adalah perkara biasa serta bukan satu rasuah.

 

Malah, jelasnya, kos untuk menghadapi pilihan raya melibatkan jutaan ringgit dan agak mustahil parti-parti politik atau individu yang bertanding perlu menyediakan wang sebanyak itu.

 

“Saya nak ingatkan di sini, mana-mana parti politik, jangan nak tipu bahawa mereka tidak menerima sumbangan daripada penyumbang-pe­nyumbang. Kalau mereka tak main duit, tak terima sumbangan, mana mereka nak dapat tiga atau empat juta nak bayar deposit untuk bertanding pilihan raya. Bukannya bayaran seratus dua ratus ringgit, tetapi berjuta.

 

“Saya bagi contoh, kalau kita bertanding pilihan raya, kalau bertan­ding 100 kerusi Parlimen dan setiap calon kena bagi deposit RM5,000. Itu kalau bertanding di peringkat kerusi Parlimen. Kalau bertanding di (kerusi) Dewan Undangan Negeri, lagi banyak kos dan melibatkan jutaan ringgit. Ini bermakna, setiap kali kita ada pilihan raya, parti-parti politik terpaksa mengeluarkan wang berjuta untuk membayar deposit untuk bertanding,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perisytiharan wa­risan Kebangsaan di Muzium Negara, di sini semalam.

 

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin; Menteri Besar Selangor, Azmin Ali; Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Dr. Zainah Ibrahim dan Pengerusi Jawatan kuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

 

Tambah Mohamed Nazri, wang derma politik lebih baik untuk diletakkan dalam akaun bank tempatan yang dianggap lebih terbuka dan telus.

 

Malah, katanya, urusan bank tempatan juga lebih mudah iaitu hanya membuat panggilan dan menekan butang transaksi selain dapat mencetak rekod urusniaga.

 

“Cuma, perlu berhati-hati. Ja­ngan ada elemen rasuah dalam pemberian wang derma politik. Setiap orang bebas untuk memberi derma kepada parti politik. Mana-mana pihak tidak boleh berasa bersalah untuk mengambil tindakan itu. Tidak ada mana-mana parti yang bersih dan berkata bahawa mereka tidak mengambil wang derma,” ujarnya.

 

Menurut Mohamed Nazri, beliau menyokong dan bersetuju dengan sistem di Amerika Syarikat yang menguatkuasakan undang-undang membenarkan penyumbang-pe­nyumbang dana politik dengan syarat sumbangan itu didaftarkan.

 

“Saya menyokong sekiranya kita di sini juga mempunyai undang-undang seumpamanya. Ada penyumbang yang bagi derma dalam akaun parti dan hal itu sah dari sudut undang-undang,” ujarnya.

 

Ditanya mengenai isu dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri menjawab, pihak berkuasa itu bebas menjalankan tanggungjawab masing-masing tetapi mereka tidak boleh mengatasi undang-undang.

 

“Kalau nak siasat tidak apa-apa. Tetapi kalau guna maklumat dan maklumat itu sampai ke pihak tertentu atas tujuan lain dan ada elemen menjatuhkan pentadbiran kerajaan, itu sudah berada di luar penyiasatan. Jika mengeluarkan rahsia dan maklumat yang tidak sepatutnya dikeluarkan, itu sudah melanggar undang-undang,” ujar­nya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.