PM Sokong Pembangunan Lembah Chuping

Kangar – Projek penempatan industri hijau berteknologi tinggi di Lembah Chuping yang dirancang kerajaan Perlis mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis diberitahu hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Koridor, Kawasan Pertumbuhan dan Bandar Baharu negeri, Datuk Sabry Ahmad berkata Perdana Menteri juga menyatakan komitmen memastikan peruntukan penyediaan infrastruktur projek itu diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang bermula tahun depan.

 

Beliau berkata, RM550 juta yang dipohon kerajaan negeri bagi projek itu masih dalam pertimbangan Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri.

 

Penyediaan infrastruktur Lembah Chuping dijangka dapat dilaksanakan pada tahun 2017, katanya menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Tambun Tulang) mengenai perkembangan terkini projek pembangunan Lembah Chuping.

 

Sabry berkata, Pelan Konsep Lembah Chuping turut diluluskan oleh mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 28 Mei lepas.

 

Katanya kerajaan negeri bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCIA) melantik perunding untuk menyediakan pelan induk pembangunan dan infrastruktur serta membuat kajian penilaian impak sosial, trafik dan audit keselamatan jalan raya.

 

Kajian perlu disiapkan pada suku pertama tahun depan, kata Sabry dan menambah kerajaan negeri dan NCIA menubuhkan Delivery Management Office yang bertindak sebagai perunding pengurusan serta penyelaras projek tersebut. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.