Lelaki Dipenjara, Akibat Rakam Gambar Dari Bawah Skirt Gadis

Kuala Lumpur – Gara-gara merakam gambar dari bawah skirt seorang gadis yang sedang menaiki eskalator, seorang ejen hartanah hari ini dipenjara 10 hari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

 

Majistret Nur A’minahtul Mardhiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Long Jhow Weh, 29, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mengaibkan kehormatan dengan merakam gambar dan video dari bahagian bawah skirt seorang penuntut universiti swasta berusia 21 tahun itu, dengan menggunakan telefon bimbitnya pada Sabtu lepas.

 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tangga eskalator Tingkat 1 menuju ke Tingkat 2, pusat beli belah Midvalley di Kuala Lumpur pada 6.10 petang, 8 Ogos lepas.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.

 

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini, dan mengarahkan dia dipenjara 7 bulan jika gagal membayar denda.

 

Mengikut fakta kes, mangsa dimaklumkan oleh rakan lelakinya mengenai perbuatan tertuduh selepas menyedari dia merakam gambar dari bawah skirt mangsa dengan menggunakan telefon bimbitnya.

 

Long, yang ditangkap oleh orang awam dan pengawal keselamatan, memohon maaf kepada gadis itu di atas perbuatannya.

 

Pemeriksaan yang dilakukan ke atas telefon bimbit tertuduh mendapati gambar wanita lain yang turut dirakamnya selain gambar mangsa.

 

Ketika rayuan, peguam Lim Cheong Kiat yang mewakili Long, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap tertuduh dengan alasan ia merupakan kesalahan pertamanya dan dia juga menyesal dengan perbuatannya itu.

 

“Anak guam saya juga memohon maaf kepada mangsa dan berjanji tidak mengulangi perbuatan yang dilakukan serta akan mendapatkan khidmat kaunseling bagi mengatasi masalah psikologi yang dihadapinya,” katanya.

 

Ketika ditanya Nur A’minahtul mengapa dia melakukan perbuatan itu, Long berkata dia mengalami masalah psikologi.

 

“Saya menyesal dan memohon maaf atas perbuatan yang dilakukan serta berharap diberi peluang untuk berubah,” katanya.

 

Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda dengan mengambil kira tindakan tertuduh yang menjatuhkan maruah mangsa.

 

“Mahkamah perlu tegas dalam menjatuhkan hukuman supaya maruah seorang wanita dihormati oleh orang lain,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.