Impak Media Sosial Sangat Membimbangkan – Anuar Zain

KUALA LUMPUR – Biarpun media sosial telah menjadi satu perkara yang penting dalam kehidupan masyarakat hari ini, namun, bagi penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain, dia menganggap perkara berkenaan (media sosial) sebagai sesuatu yang menakutkan.

 

Ini kerana kata penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka itu, media sosial telah menjadi platform untuk masyarakat meluahkan perasaan dan menghamburkan kata-kata kesat tanpa mengambil kira perasaan serta hati orang lain.

 

Pun begitu kata Anuar, penggunaan media sosial dan Internet ada sisi positifnya tetapi pada pengamatannya, ramai yang telah menyalah gunakan kelebihan itu lebih ke arah yang negatif berbanding positif.

 

“Saya sendiri seperti tidak percaya dan memang sangat mengejutkan apabila pengguna media sosial menggunakan medan itu untuk mengkritik secara terbuka dan menghakimi sesiapa sahaja dengan bahasa yang cukup menakutkan.

 

“Kritikan itu perlu kepada sesiapa sahaja tetapi biarlah ia secara berhemah dan penuh diplomasi. Masyarakat hari ini sudah tidak lagi ada rasa belas kasihan, kemanusiaan dan kasih sayang terhadap sesama sendiri.

 

“Sehinggakan mereka boleh menjadi seorang yang begitu kejam dengan apa yang mereka tulis dan perkatakan terhadap orang lain di media sosial,” luah Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain dalam nada serius sewaktu ditemui di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, Khamis lalu.

 

Bekas pemenang trofi Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak tiga kali itu juga memberitahu dia pernah berhadapan dengan situasi itu menerusi laman Facebook rasminya sehinggakan kini dia tidak lagi kerap untuk mengemas kinikan akaun tersebut.

 

Tidak tertumpu hanya kepada media sosial, jelas penyanyi lagu Keabadian Cinta dan I’m The Lucky One itu juga, tahap kesedaran masyarakat hari ini terutama dalam aspek hormat-menghormati juga semakin menghakis.

 

“Pernah berlaku kepada diri saya sendiri apabila ada sesetengah pihak yang mengambil gambar saya tanpa kebenaran atau gambar curi sewaktu saya berada di tempat awam dan kemudian, memuat naik ke media sosial.

 

“Tanpa mengetahui perkara sebenar, mereka bebas untuk berkata apa sehingga menimbulkan fitnah. Bukankah itu sesuatu yang tidak elok dan kurang wajar dilakukan?

 

“Saya tahu tentang perkara tersebut pun setelah ada pihak yang menyampaikan kepada saya. Seperti mana yang saya katakan, ia sungguh menakutkan. Di mana perasaan hormat di dalam diri mereka sehingga mampu berbuat demikian?,” soalnya tegas.

 

Dalam masa yang sama, penyanyi berusia 45 tahun itu berpendapat tidak bermakna tanpa media sosial dan tidak menjadi seorang kaki gajet, seseorang itu dianggap ketinggalan mahupun menjadi seperti katak di bawah tempurung.

 

Sebaliknya jelas Anuar, tahap pemikiran dan kebijaksanaan seseorang itu sebenarnya menentukan sama ada mereka up-to-date mahupun sebaliknya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.