Dana RM2.6bilion: Derma Daripada Negara ‘Bersaudara’ – Nazri Aziz

Kuala Lumpur – Derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak datang daripada negara “bersaudara” di Timur Tengah yang mahu parti tertentu menang dalam pilihan raya umum lalu, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

 

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu menolak dakwaaan Malaysia mungkin berada di bawah pengaruh Timur Tengah selepas perdana menteri menerima derma tersebut.

 

“Derma diberikan kepada kita oleh negara sahabat, negara yang tidak sekuat mana berbanding kita. Bukan macam Amerika Syarikat yang boleh mempengaruhi kita,” katanya ketika ditanya sama ada Malaysia akan dipengaruhi kuasa luar kerana menerima derma itu.

 

“Tetapi ini hanya negara bersaudara yang mahu melihat parti tertentu menang pilihan raya umum kerana kita mesra dengan mereka. Tidak ada salahnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Deklarasi Warisan Negara 2015.

 

Nazri tidak menamakan penderma dari Timur Tengah itu.

 

Katanya, menyimpan duit di bank tempatan lebih telus berbanding meletakkannya dalam bank di luar negara.

 

“Duit ini derma untuk pilihan raya. Bagaimana nak bawa masuk duit jika tak buka akaun?

 

“Cara ini lebih telus daripada terima wang tunai atau simpan duit dalam bank Swiss dan mengambilnya sedikit demi sedikit,” katanya sambil menambah sekiranya wang itu dalam bank tempatan, transaksinya akan direkodkan.

 

Najib menerima tekanan berhubung wang sejumlah RM2.6 bilion yang dipindahkan ke akaunnya antara 2013 dan awal tahun ini.

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, dana itu merupakan derma daripada Timur Tengah dan bukannya wang daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Nazri berkata, Najib adalah mangsa tindakan ‘double standards’ (berat sebelah) dilakukan pembangkang.

 

“Saya rasa ia berat sebelah kerana tidak ada parti yang boleh kata ia tak terima sumbangan politik,” katanya.

 

Katanya, setiap parti politik ada pendermanya sendiri kerana mereka memerlukan perbelanjaan yang banyak, terutamanya ketika pilihan raya umum.

 

“Jangan anggap ini perkara luar biasa. Bila kita nak ada undang-undang (mengawalselia dana politik) mereka (pembangkang) membantah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.