Budak 11 Tahun Yang Bersalin Sebaya Anak Saya – Doktor

TAHUN 2004? 04? Nombor itu diulang berkali-kali. Seperti tidak percaya! Jika ditolak tambah, usianya sebaya dengan anak sulung saya. Ya, 11 tahun!

 

Saya lihat semula kad pengenalannya. Benar 2004… dan bila dipandang memang budak ini mengandung bahkan hampir bersalin.

 

Dia datang di klinik dengan ibu dan pakciknya sekitar jam 9.15 pagi. Masuk jumpa saya 15 minit kemudian.

 

Bila saya tanya sakit apa, jawab ibunya, sakit perut. Manakala si anak sudah mengerang sakit, tidak mampu berkata-kata.

 

“Haiya? Betul ka sakit perut? Anak awak ni mengandung dan sudah nak bersalin. Ini sakit nak bersalin,” ayat itu terus melantun keluar dari mulut menerangkan kepada ibu kanak-kanak itu.

 

Kes pertama selepas lebih 20 tahun tak jadi bidan

 

Ibunya seperti tidak percaya. Untuk lebih pasti dan meyakinkannya, saya buat ujian imbasan (scan). Ibu kanak-kanak itu seperti terkejut bila lihat betul ada bayi.

 

Saya tidak mahu ambil risiko, kerana walau macam mana pun dirahsiakan, tetap akan dihidu polis kerana kes ini melibatkan kanak-kanak.

 

Saya hubungi Klinik Kesihatan Bahau. Minta mereka hantarkan ambulans dan doktor. Jadi anak beranak ini menunggu di kaunter sementara saya uruskan pesakit lain.

 

Namun tidak sampai beberapa minit, air ketubannya pecah. Perkara itu turut memeranjatkan pesakit lain yang menunggu untuk mendapatkan rawatan.

 

Selepas diperiksa, tiba-tiba salah satu kaki bayi tersebut terkeluar dan kelihatan sedikit lebam.

 

Dalam keadaan kelam-kabut ditambah pula dengan suara mengerang kesakitan, budak itu dibawa masuk semula ke bilik pemeriksaan.

 

Saya terpaksa jadi bidan terjun dibantu tiga kakitangan.

 

Memang takut. Gemuruh. Semuanya bercampur baur.

 

Kes ini adalah yang pertama saya terima selepas lebih 20 tahun tidak menjadi ‘bidan’.

 

Lebih mengharukan ia membabitkan ibu muda. Budak darjah 5. Bayinya songsang pula… haiya! Saya betul-betul cuak.

 

Kebiasaannya kelahiran bayi songsang akan dilakukan doktor pakar sahaja.

 

Dalam keadaan kecemasan seperti itu, saya tiada pilihan. Doktor dari Klinik Kesihatan Bahau pula belum tiba.

 

Tetapi bila tengok kakitangan saya ‘cool’ sahaja, saya pun jadi tenang semula. Ketika ini saya hanya fikir menyelamatkan satu nyawa tidak berdosa.

 

Hampir 20 minit juga kami berusaha mengeluarkan bayi berkenaan. Ini merupakan pengalaman mendebarkan susulan klinik ini hanya merawat pesakit luar.

 

Hentikan viral

 

Saya amat terkejut apabila insiden tersebut menjadi viral dalam laman sosial. Lebih-lebih lagi ia turut membabitkan nama klinik saya.

 

Saya sangat berharap orang ramai tidak menokok tambah maklumat tidak sahih,  sebaliknya mengambil iktibar daripadanya.

 

Ibu bapa khasnya, pantau aktiviti anak-anak, luangkan masa bersama mereka, berbual, berkongsi masalah supaya mereka tidak terjebak dengan perkara negatif terutamanya yang melibatkan media sosial.

 

Laman web yang memaparkan video lucah terlalu mudah untuk dimuat naik ataupun ditonton melalui telefon pintar.

 

Kita tidak boleh menidakkan penggunaan teknologi tetapi ada hadnya. Selain itu, kenali rakan-rakan anak-anak juga membantu mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti berkenaan.

 

Saya juga turut menggesa kerajaan menyekat laman web yang mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat.

 

Tindakan awal ini mampu mengelakkan insiden lebih serius membabitkan kanak-kanak. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.