Ahli Parlimen Klang, Kritik Pentadbiran Azmin

Klang – Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago hari ini mengkritik pentadbiran Mohamed Azmin Ali selepas menteri besar itu gagal menangani beberapa isu penting di Selangor.

 

Ini termasuklah pengendalian masalah denggi yang mencatatkan sebanyak 89 kematian sehingga Julai ini, paling tinggi dalam rekod di negeri ini.

 

Selain menyelar prestasi Azmin, pemimpin DAP itu juga ‘pelik’ dengan cara kerja exco-exco kerajaan negeri.

 

“Kerajaan negeri dan PBT tidak bekerja sebagai satu sistem. Lucu apabila masing-masing tidak tahu apa yang terjadi.

 

“Pergi mesyuarat, tetapi bila ditanya, ahli Majlis (Mesyuarat Kerajaan Negeri) pun tidak tahu apa yang kerajaan negeri lakukan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Klang, hari ini.

 

Charles turut merujuk kepada kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal menyelesaikan isu denggi.

 

Beliau menyebut Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi seolah ‘terbeban’ dengan rekod kira-kira 40,000 kes gigitan aedes dicatatkan dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

 

“Isu ini bukan lagi masalah kesihatan saja tetapi melibatkan alam sekitar, PBT dan perumahan. Mereka tidak boleh lagi tuding jari kepada kesihatan.

 

“Sebab itu Azmin mesti bertanggungjawab mempengerusikan satu jawatankuasa dan bukan hanya seorang exco saja perlu bekerja membunuh setiap pembiakan lava aedes.

 

“Azmin perlu mengumumkan hasil pemantauan setiap satu atau dua minggu dalam perkembangan mereka membanteras denggi. Dia perlu bertanggungjawab sebab dia ada kuasa atas PBT,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.