Selangor Kini Diperintah Oleh Khalid, PAS Dan BN – Mat Sabu

Kuala Lumpur – Mohamad Sabu mengatakan Selangor kini diperintah oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, P‎AS dan Barisan Nasional (BN) sehingga parti Islam itu bermesyuarat pada 17 Ogos ini.

Timbalan presiden PAS itu mengatakan, situasi ini berlaku kerana rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti PKR dan DAP sudah menyatakan pendirian mereka untuk menolak kepimpinan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

“Sekurang-kurangnya selama seminggu Selangor akan diperintah Khalid (Ahli Dewan Undangan Negeri Bebas), PAS dan BN sehinggalah PAS membuat keputusan pada 17 Ogos ini,” kata Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu .

“PKR dan DAP sudah membuat pendirian jelas menolak Khalid, PAS sahaja yang belum,” kata Mohamad dengan nada sedih.

Hari ini Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengatakan partinya akan tetap menunggu sehingga 17 Ogos untuk bermesyuarat walaupun timbul desakan daripada rakan komponen PR agar mesyuarat itu dipercepatkan.

“Kena tunggu mesyuarat 17 Ogos baru kita boleh buat pendirian,” kata Mustafa.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum itu menggesa PAS segera menyatakan pendirian sama ada mereka menyokong atau menolak Khalid yang sudah menerima sokongan BN di Selangor.

Jika PAS berkata mereka tidak bersama Umno, ini akan membantu menjelaskan PAS menyokong menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor, tetapi berhasrat menunggu hingga 17 Ogos bagi memutuskan sama ada menyokong calon pengganti pilihan PKR,” katanya.

“Jika PAS gagal menjelaskan hal ini, ia hanya akan menghakis sokongan popular untuk Pakatan Rakyat dan merosakkan keyakinan pengundi bukan sahaja di Selangor, tetapi seluruh negara,” kata Lim.

Semalam Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ‎ke Kuala Terengganu untuk bertemu dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memecahkan kebuntuan kemelut menteri besar Selangor selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan Khalid agar terus kekal sebagai menteri besar.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, pertemuan Anwar dan Hadi gagal mencapai persetujuan kerana presiden PAS itu kekal dengan pendirian menyokong Khalid walaupun menteri besar penggal kedua itu dipecat PKR dan mendapat sokongan terbuka BN.

PKR menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon untuk menggantikan Khalid, tetapi Hadi dan Majlis Syura Ulama PAS menolaknya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki mencadangkan agar parti Islam tu menubuhkan kerajaan campuran bersama Khalid dan Umno di Selangor.

“Melihat kepada kemelut politik negeri Selangor yang berlarutan lebih setahun sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, saya secara peribadi mencadangkan sebuah kerajaan berkonsepkan Konsensus Nasional dibentuk di Selangor,” kata Zuhdi melalui akaun Facebooknya.

Sebelum ini, nama Zuhdi terkenal apabila perbincangan dalam aplikasi Whatsapp kumpulan ahli jawatankuasa PAS Pusat bocor.

Dalam jangkaan senario itu, Zuhdi membayangkan wujud gabungan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dan Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor.

Kali ini Zuhdi secara terbuka mencadangkan konsensus nasional dengan BN untuk penyelesaian isu di Selangor.

Zuhdi berkata, bagi menjayakan ‘Konsensus Nasional’ peringkat Selangor, pembangkang BN boleh diberi tanggungjawab bersama dalam pentadbiran negeri, khususnya menjadi kuasa semak dan imbang yang diiktiraf, sebagai contoh seorang Adun BN dilantik mengetuai jawatankuasa Selcat.

“Konsensus ini diperkukuhkan dengan pembentukan Majlis Pemuafakatan Selangor yang melibatkan parti daripada PR, BN dan Adun bebas.

“Dalam konteks ini, Anwar boleh dilantik sebagai pengerusi atau penasihat sebagai pengiktirafan kepada usaha Konsensus Nasional yang diusahakannya sebelum ini,” katanya. – Malaysian Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.