Najib Ucap Tahniah Kepada Erdogan

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan kerana memenangi pilihan raya Presiden negara itu yang pertama kali dibuat secara langsung pada Ahad.

“Tahniah Erdogan kerana menang pilihan raya Presiden. Malaysia berharap hubungan lebih baik dan lebih strategik dengan Turki,” katanya dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Dilaporkan Erdogan yang menjadi perdana menteri sejak 2003 memperoleh kira-kira 52 peratus undi dari 99 peratus peti undi untuk dipilih menjadi presiden Turki ke-12 sekaligus mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemimpin Turki untuk lima tahun lagi.

Pesaing utama beliau, Ekmeleddin Ihsanoglu, hanya mendapat undian sebanyak 38.3 peratus manakala pesaing ketiga, Selahattin Demirtas memenangi 9.7 peratus undi.

Pilihan raya itu menandakan peringkat pertama pelan Erdogan yang bercita-cita tinggi untuk mengubah kerajaan Turki ke satu landskap politik di mana presiden mempunyai kuasa eksekutif, dengan dirinya sebagai pemimpin.

Erdogan telah bertekad untuk menggoncangkan sistem politik di negara itu, kerana ingin menaikkan presiden sebagai orang nombor satu di dalam sistem itu.

Sebelum ini, jawatan presiden Turki hanyalah berbentuk perlembagaan dan tidak punyai kuasa untuk membentuk hala tuju pentadbiran yang merupakan hak perdana menteri.

Dengan kemenangan ini, Erdogan akan merubah perlembagaan untuk menjadikan jawatan presiden lebih berbentuk eksekutif yang mirip kepada sistem presiden yang terdapat di Amerika Syarikat.

Erdogan dijangka mengambil sumpah pada 28 Ogos.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.