Konsensus Nasional: Pemimpin PAS Cadang Bentuk Kerajaan Dengan BN di Selangor‎

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki mencadangkan kerajaan konsensus nasional dibentuk di Selangor bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.

“Melihat kepada kemelut politik negeri Selangor yang berlarutan lebih setahun sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, saya secara peribadi mencadangkan sebuah kerajaan berkonsepkan Konsensus Nasional dibentuk di Selangor,” kata Zuhdi melalui akaun Facebooknya.

Sebelum ini, nama Zuhdi terkenal apabila perbincangan dalam aplikasi Whatsapp kumpulan ahli jawatankuasa PAS Pusat bocor.

Dalam jangkaan senario itu, Zuhdi membayangkan wujud gabungan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dan Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor.

Kali ini Zuhdi secara terbuka mencadangkan konsensus nasional dengan BN untuk penyelesaian isu di Selangor.

Zuhdi berkata, bagi menjayakan ‘Konsensus Nasional’ peringkat Selangor, pembangkang BN boleh diberi tanggungjawab bersama dalam pentadbiran negeri khususnya menjadi kuasa semak dan imbang yang diiktiraf, sebagai contoh seorang Adun BN dilantik mengetuai jawatankuasa Selcat.

“Konsensus ini diperkukuh dengan pembentukan Majlis Pemuafakatan Selangor yang melibatkan parti daripada PR, BN dan Adun bebas.

“Dalam konteks ini Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dilantik sebagai pengerusi atau penasihat sebagai pengiktirafan kepada usaha Konsensus Nasional yang diusahakannya sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, konsep pembentukan kerajaan berasaskan Konsensus Nasional pernah diwar-warkan oleh Anwar, malah pernah juga disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan istilah Rekonsilasi Nasional.

Katanya, perkara itu juga menjadi intipati penting kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang memutuskan untuk mengekalkan Khalid, atas asas kepentingan rakyat perlu didahulukan daripada kepentingan individu dan parti.

“Secara peribadi, saya melihat inilah penyelesaian terbaik kepada kemelut politik Selangor yang memuaskan hati semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian ini juga dapat mengelak daripada pilihan raya negeri diadakan yang akan mengorbankan sejumlah dana awam, menangani ketidakstabilan politik disebabkan kekaburan siapa mendapat sokongan majoriti, memberi ruang kepada semua pihak berkaitan seperti pihak kerajaan tempatan, kakitangan kerajaan, pimpinan komuniti melaksanakan tugas mereka dan yang lebih utama kepentingan rakyat terpelihara.

Zuhdi berkata, semangat Konsensus Nasional perlu dihidupkan semula demi mengelak kemelut politik Selangor yang berpanjangan sehingga boleh menjejaskan rakyat Selangor dan Malaysia secara keseluruhannya.

Katanya, kemelut politik di Selangor sepatutnya tidak timbul jika pimpinan mengambil sikap mendulukan kepentingan rakyat seperti penyelesaian krisis air, pembasmian salah guna kuasa, penurunan kos hidup rakyat, penyediaan rumah mampu milik, penambahbaikan infrastruktur, memerangi jenayah dan pencegahan demam denggi.

“Malangnya terdapat segelintir pimpinan politik lebih suka berpolemik dan berpolitik demi mengutamakan kepentingan individu dan parti,” katanya.

Katanya, kemelut politik ini menyebabkan sebahagian besar rakyat Selangor mulai bosan, malah meluat dengan karenah pimpinan politik.

Zuhdi berkata, sepatutnya kerajaan yang diberi mandat rakyat dan kemudian diperkenankan Sultan Selangor, diberi peluang saksama untuk menjalankan tanggungjawab mereka demi menjaga kepentingan rakyat seluruhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.