Jaclyn Victor Akui Sudah Berkahwin Dengan Jejaka Kelahiran Puerto Rico

Teka-teka mengenai bilakah tarikh pernikahan penyanyi bervokal lantang, Jaclyn Victor akhirnya terjawab apabila penyanyi itu sendiri mengumumkan yang dia sebenarnya sudah pun berkahwin pada 19 Julai lalu.

Jac berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya iaitu seorang pemuzik dan produser dikenali sebagai Shawn Rivera, 40. Suaminya itu juga merupakan salah seorang daripada anggota kumpulan R&B popular Amerika Syarikat, AZ Yet.

“Inilah Shawn, dia berasal daripada Pueto Rico, seorang warganegara Amerika”, kata Jac yang memperkenalkan bakal suaminya itu pada satu majlis sidang media khas mengumumkan tarikh perkahwinannya bertempat di Istana Budaya, sebentar tadi.

Lebih istimewa, pada sidang media tersebut para tamu dan wakil media dipertontonkan dengan klip video upacara perkahwinan pasangan ini.

Pada awal April lalu, menerusi laman sosial Instagram dan Facebook miliknya, pelantun lagu ‘Bertamu di Kalbu’ ini ada memuat naik sekeping foto patung pasangan pengantin dan menyatakan kesediaannya untuk berumah tangga.

Bagaimanapun Jac atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 36, pada ketika itu enggan mengulas lanjut mengenai tarikh perkahwinan juga siapakah gerangan jejaka yang berjaya mencuri hati juara Malaysia Idol musim pertama ini. Ini kerana pada ketika itu negara sedang bersedih ekoran insiden MH370. Sebagai menghormati tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia itu, Jac membuat keputusan untuk merahsiakan tentang hari bahagianya itu.

Majlis perkahwinan pasangan ini telah diadakan di The First Unitarian Church of Philadelphia, Amerika Syarikat secara tertutup.

Jac sebelum ini pernah bertunang dengan Chris Bellamy selepas 10 tahun bercinta. Namun ikatan pertunangannya dengan jejaka berbangsa Inggeris dari United Kingdom itu putus pertengahan tahun lalu kerana faktor percintaan jarak jauh.

Jaz dan Shawn mula berkenalan sejak awal tahun lalu ketika Jac dan kumpulan AZ Yet merakamkan single Magical Moment dan semenjak itu mereka mula berkawan.

Majlis resepsi pasangan secocok ini akan di adakan pada September depan.

Tahniah Jac & Shawn!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.