Demam Pesta Bola Merdeka di New York

Masyarakat Malaysia yang berada di kawasan pantai timur Amerika Syarikat boleh dikatakan mengalami demam Pesta Bola Merdeka yang diadakan di New York pada hari Sabtu dan Ahad.

Tarikan utama kejohanan kali ini yang telah dianjurkan buat kali ketujuh berturut-turut ialah kehadiran 20 pemain yang diterbangkan khas dari Malaysia.

Sesetengah pemain turut membawa bersama isteri mereka untuk seperti yang dikatakan seorang pemain ‘memberi sokongan dan turut bersorak di tepi padang’.

Sukarelawan masyarakat Malaysia, Katherina To yang tinggal di Elmhurst, New York dan aktif menganjur aktiviti yang melibatkan rakyat Malaysia, berkata kejohanan tersebut yang diberi nama ‘Merdeka Cup USA’ diadakan di New York sejak 2008 sebagai edisi tempatan kejohanan Pesta Bola Merdeka yang diadakan di Malaysia, bagi merayakan sambutan Hari Kemerdekaan negara.

“Kami mengadakan kejohanan pada hujung minggu dalam bulan Ogos agar kami mempunyai kehadiran yang ramai ke kejohanan,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, tujuh pasukan mengambil bahagian.

Persatuan Malaysia Amerika (MAA), konfederasi kepada beberapa persatuan tempatan menganjurkan acara tersebut dEngan bantuan kewangan syarikat logistik Malaysia ‘Wen-Parker Logistics’ yang berpangkalan di New York yang membiayai perjalanan pemain dari Malaysia yang sesetengahnya membawa bersama isteri mereka.

“Perlawanan tersebut sangat menceriakan,” kata Jimmy Tan, presiden MAA.

Beliau berkata antara pemain yang mengambil bahagian ialah bekas pemain Pesta Bola Merdeka sendiri Datuk Soh Chin Aun, 64, yang masih berupaya mengembirakan penonton dengan aksinya menggelecek bola menewaskan pemain lebih muda.

“Kejohanan persahabatan ini berjaya mempromosi perlawanan persahabatan dalam kalangan rakyat Malaysia di sini dan mengeratkan lagi antara satu sama lain menerusi semangat kesukanan,” kata Tan.

Pemain dan penonton turut memberi penghormatan kepada mendiang Wong Choon Wah, seorang lagi ikon negara yang meninggal pada Januari 2014.

Pasukan Chin Aun akhirnya diisytihar sebagai juara.

“Saya telah beberapa kali melawat New York, tetapi ini kali kedua saya menyertai kejohanan Pesta Bola Merdeka USA,” katanya ketika dirai pada majlis makan malam di sebuah restoran di China Town yang turut dihadiri Konsul Jeneral Malaysia, Abdul Razak Abdul Wahab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.