KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor yang disifatkan membiarkan negera jiran Singapura menikmati subsidi air milik Malaysia.
Beliau malah melabel Malaysia sebagai “negara subsidi”.
“Malaysia adalah negara subsidi.Kita bukan sahaja beri subsidi kepada rakyat kita, tetapi juga kepada negara asing.
“Sehingga kini kita masih jual air mentah dengan harga 3sen untuk 1,000 gelen.
“Perkiraan menunjukkan yang Singapura dapat subsidi sebanyak RM39 million setahun dari Malaysia (Johor) berbanding jika (jualan air) berharga 45sen untuk 1000 gelen sehari sejak dari permulaan penjualan 250 million gelen sehari,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut bekas Dr Mahathir, jumlah dari 1962 hingga 2023 (61 tahun) Kerajaan Malaysia memberi subsidi kepada Singapura berjumlah RM 2,379,000,000 (Dua billion tiga ratus tujuh puluh sembilan million).
“Yang rugi ialah negeri Johor kerana air disedut dari sungai Johor.
“Nasihat saya jual air mentah Johor pada harga 3sen 1000 gelen sehingga kiamat,” bidas beliau.
Ketika ini, Singapura membeli air mentah dari Johor pada harga 3 sen setiap 1,000 gelen dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.