UMNO Lantik Peguam Tuntut Dana Parti RM116.7 Juta Yang Dirampas

KUALA LUMPUR – UMNO melantik firma guaman, Tetuan Scivetti & Associates bagi mewakili parti itu dalam kes tuntutan dana politik milik UMNO berjumlah kira-kira RM116.7 juta yang telah disita oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Unit Undang-Undang UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sepasukan peguam yang dilantik semalam diketuai oleh Datuk Hariharan Tara Singh sebagai peguam utama.

Azalina berkata, buat masa ini, barisan peguam yang mewakili UMNO sedang meneliti segala isu perundangan berkaitan dengan tuntutan dana politik parti tersebut.

“Pasukan peguam kami juga sedang mempertimbangkan antara lainnya, prosedur atau kaedah dan cadangan tindakan undang-undang yang boleh UMNO ambil terhadap pihak yang berkaitan dalam menuntut dana politik parti.

“Barisan peguam juga akan membuat permohonan sewajarnya ke atas agensi penguatkuasaan khususnya PDRM untuk memperoleh maklumat bagi membolehkan tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 18 Mei lalu, sepasukan polis telah bertindak merampas sejumlah wang yang didakwa sebagai dana politik UMNO bagi tujuan kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 5 Mei lalu dan pengurusan parti.

Wang tersebut dirampas ketika proses pertukaran kepimpinan baharu dalam UMNO selepas diadakan pemilihan parti pada 30 Jun lalu.

Tambah Azalina lagi, UMNO berharap agar mana-mana pihak berhenti membuat spekulasi berhubung isu penyitaan wang parti.

“Pada masa sama, pasukan peguam UMNO turut berharap supaya tiada mana-mana pihak membuat sebarang telahan yang tidak sewajarnya berhubung isu rampasan dana parti ini,” tegasnya. – UTUSAN

One thought on “UMNO Lantik Peguam Tuntut Dana Parti RM116.7 Juta Yang Dirampas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.